HUDUD: Alhamdulillah, akhirnya akan terlaksana jua



Kenyataan Media

Yang Amat Berhormat Ustaz Dato Ahmad bin Yakob,
Menteri Besar Kelantan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Berikutan keputusan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kelantan pada hari ini, 2 Jamadil Akhir 1435H bersamaan 2 April 2014M, saya ingin mengumumkan beberapa pendirian yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri Kelantan berkaitan dengan isu Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 yang merangkumi hukuman hudud. Ianya adalah seperti berikut :

1. Kerajaan Kelantan menyambut baik kesediaan Kerajaan Persekutuan untuk memberikan laluan kepada mana-mana kerajaan negeri termasuklah Kelantan untuk menguatkuasakan undang-undang hudud sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom baru-baru ini di Dewan Rakyat.

2. Kerajaan Kelantan dengan ini akan menyiapkan satu rang undang-undang persendirian (private bill) yang akan dibawa ke mana-mana sidang Parlimen yang terdekat oleh salah seorang Ahli Parlimen Bukan Kerajaan bagi mendapat kebenaran untuk Kelantan melaksanakan undang-undang tersebut seperti yang diperuntukkan oleh Perkara 76 (A) Perlembagaan Persekutuan. Ini kerana sebahagian besar dari kesalahan jenayah hudud dan qisas seperti mencuri, merompak, merogol, mencedera dan membunuh terletak dalam bidang kuasa Kerajaan Persekutuan sebagaimana yang diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan (Penal Code), begitu juga agensi-agensi pelaksana seperti polis dan penjara.

3. Satu rang undang-undang persendirian (private bill) juga akan dibawa bagi meminda Akta Mahkamah Shariah (Bidangkuasa) 1965 untuk memberi bidang kuasa yang lebih luas kepada Mahkamah Shariah Negeri Kelantan bagi membolehkannya menghukum sebagaimana peruntukan dalam Enakmen Hudud.

4. Kerajaan Negeri Kelantan sedia memberi jaminan bahawa sekiranya tiada halangan dari Kerajaan Persekutuan untuk memberikan laluan kepada dua undang-undang persendirian ini dibentang dan diluluskan di Parlimen, Insha-Allah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 paling lewat akan berkuatkuasa di Kelantan pada tahun 2015.

Sekian, salam hormat.

(Ustaz Dato Ahmad bin Yakob)
Menteri Besar Kelantan.

Pejabat Menteri Besar Kelantan.
Bertarikh : 2 Jamadil Akhir 1435H bersamaan 2 April 2014M


Ulasan:


Alhamdulillah, setelah lebih 23 tahun Perintah Allah untuk dilaksanakan Hukuman Hudud ini diperjuangkan untuk dilaksanakan di Negeri Kelantan ini, dengan menempuh pelbagai cabaran dan dugaan, akhirnya menunjukkan sinar yang akan membolehkan pelaksanaannya pada insyallah 2015 nanti. Umum mengetahui bahawa perintah untuk melaksanakan hukuman ini adalah pada PEMIMPIN tidak kira nama atau parti apa sekalipun, asalkan pemerintah itu seorang ISLAM, adalah WAJIB baginya dengan sedaya upaya melaksanakan perintah ini.

Kesungguhan Kerajaan Negeri dalam merealisasikan hukuman ini memang telah bermula sejak awal 90an lagi. Walaupun pelbagai tohmahan dan halangan yang dilemparkan terhadap perkara ini, ianya tetap diteruskan. Marilah sama - sama kita doakan agar perkara ini dipermudahkan dan mendapat keberkatan dari Nya.

Penerangan tentang Hukum Hudud kepada orang Islam dan juga Bukan Islam mesti diteruskan agar semua pihak mendapat maklumat sebenar tentang perkara ini. Sebagai orang ISLAM, tanpa mengira fahaman politik, marilah sama - sama kita menjayakan agenda besar ini. Insyallah, suatu hari nanti, Malaysia akan mengikut jejak langkah Brunei dalam melaksanakan Hukum Hudud ini.

Semoga Allah mempermudahkan segalanya.

"Sesungguhnya Allah akan bersama dengan mereka yang berjuang di atas agamanya" 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Temuduga JPK: Suatu Catatan..

MPP: Tugas dan Harapan

Secebis Pengalaman, Secoret Kenangan