Saturday, 30 August 2014

57 Tahun Malaysia Merdeka


Assalamualaikum W.B.T

Hari ini merupakan Cuti Umum seluruh negara bagi meraikan hari kemerdekaan bagi kita rakyat Malaysia. Saya bagi pihak diri sendiri ingin mengucapkan “Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Negara kali ke 57 kepada semua rakyat Malaysia”.

Tahun ini, sambutan agak berlainan dengan sambutan tahun – tahun terdahulu. Tema yang dipilih tahun ini pada saya amat tepat dan kena dengan “keadaan dan situasi negara” sekarang. Tema Hari Merdeka keli 57 adalah Malaysia: Di sini Lahirnya Sebuah Cinta dengan angka 57 sebagai menandakan yang negara kita sudah 57 tahun merdeka sejak 31 Ogos 1957 yang lalu.

Semestinya, aspek perpaduan amat dititik beratkan dalam kalangan rakyat yang berbilang bangsa dan agama yang terdapat di Malaysia dalam sambutan kali ini yang dilihat banyak perkara yang berlaku mengundang rasa “tidak selesa” dalam kalangan kaum. Banyak kenyataan negatif yang menghina kaum dan agama tertentu serta Institusi Beraja dalam laman sosial semakin menjadi – jadi. Sepatutnya, toleransi dan hormat-menghormati perlu ada dalam kalangan rakyat dalam memastikan kemakmuran negara berkekalan.

Pelbagai insiden sedih dan mengejutkan juga telah terjadi dalam negara kita bermula awal tahun ini lagi. Kejadian Pemberontak Sulu, Kehilangan MH 370 dan yang terkini pesawat MH 17 yang ditembak jatuh di Donestk menimbulkan pelbagai persoalan dan pertanyaan. Dan kita panjatkan lah doa agar semua yang berlaku akan dapat diselesaikan dengan baik dan tersirat hikmah yang hanya Allah S.W.T sahaja yang mengetahui.

Semoga apa yang terjadi ini akan menguatkan lagi perpaduan kita sesama rakyat Malaysia walau apa jua agama dan bangsa!.

Selamat Hari Merdeka ke 57 Tahun

Merdeka!
Merdeka!
Merdeka!

Sumber rasional logo merdeka 57



Nota: Ada pelbagai pandangan yang diutarakan dalam membincangkan tema kemerdekaan tahun ini. Bergantung kepada masing - masing untuk mengulasnya.


Catatan Aidilfitri PDTKS 1435 H/2014 M


Assalamualaikum W.B.T

Alhamdulillah, kita sudah berada dalam bulan Zulkaedah sekarang setelah selesai merayakan Bulan Syawal 1435H yang dirayakan diseluruh pelosok dunia, di bandar, dikampung dan di mana – mana sahaja diraikan Aidilfitri dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran.

Tempat saya bekerja pun tidak terkecuali dalam menyambut lebaran kali ini dengan diadakan “Open House” di unit masing – masing di Pejabat Daerah/Tanah Kuala Selangor ini. Memang meriah bagi saya sebab ini kali pertama saya menghadiri “rumah terbuka” di pejabat ni. Rasa seronok sebab pelbagai jenis juadah dissediakan termasuk buah – buahan untuk rumah terbuka masing – masing. Harap maaf sebab gambar tak dapat disiarkan disebabkan “masalah teknikal”.

Insyallah, saya akan berkongsi dengan pembaca semua tentang Jadual Open House saya sepanjang berada di Kuala Selangor ni.


Tempat: Bahagian Pembangunan 
Tarikh: 17 Syawal 1435H/13 Ogos 2014 (Rabu)

PLB memulakan program Jamuan Hari Raya yang diadakan di Pejabat Daerah/Tanah Kuala Selangor ini. Tahun ini, jamuan diadakan secara kecil – kecilan oleh Bahagian/Unit yang terdapat di sini disebabkan oleh menghormati Tragedi MH 17 yang berlaku kepada pesawat MAS MH 17 dahulu. Biasanya, dibuat secara besar besaran jamuan raya.


Macam biasa, ada jemputan kena pergilah kan. Macam – macam juadah Hari Raya yang disediakan. Sate, Nasi Impit, Kuih Muih dan buah – buahan.

Bergambar kenangan bersama DO dan Keluarga Unit Pendaftaran

Tarikh: 19 Syawal 1435H/15 Ogos 2014 (Jumaat)
Tempat: Unit Pendaftaran (A & B)

Hari ini diadakan Open House di unit yang saya bekerja iaitu di Unit Pendaftaran A. Unit ini terdiri dari 2 bahagian iaitu A dan B yang terletak diaras yang sama. Dibuat jamuan di Bahagian A sebab kawasan yang lebih luas dari B yang menempatkan kaunter.
Saya macam biasalah selepas makan, menjadi penyambut tetamu bagi mengalu alukan tetamu yang datang makan. Masa jamuan tidaklah panjang sebab hari Jumaat, orang nak solat Jumaat. Hanya setakat jam 12 lebih atau pukul 1 tengah hari je.

Yang saya suka adalah sebelum majlis bermula, kami satu unit berkumpul bersama – sama dan mengaminkan doa, memohon keberkatan. Tuan rumah makan dulu sebelum tetamu datang.

Makanan tak usah cakaplah. Pelbagai jenis makanan dan buah – buahan yang disediakan. Antaranya Sate, Lemang, Rendang, Laksa, Bubur Kacang, Bubur Jagung, Nasi Impit. Buah Pulasan, Tembikai antara menjadi pencuci mulut jamuan. Kuih muih juga disediakan seperti Pulut Panggang dan pelbagai jenis lagi yang saya pun tak tahu apa namanya.

Tarikh: 20 Syawal 1435H /16 Ogos 2014 (Sabtu)
Tempat: Kampong Kuantan, Kuala Selangor

Kali ini, jamuan agak lain sedikit kerana kami bertiga mengahdiri Rumah Terbuka keluarga kepada suami Pn Yusiha, iaitu En Zakir Hussin di Pekan Kampong Kuantan, kira – kira 6 KM dari kuaters. Dah orang bagi kereta, memang kena pergilah.

Makanan memang tak usah kira sebab memang banyak dan menyelerakan. Yang menjadi tarikan utama bagi saya dan tetamu yang lain adalah KAMBING BAKAR!. Disediakan 3 ekor kambing bakar dengan set lengkap. (Bayanngkan je lah macam mana). Walaupun terpaksa beratur dalam cuaca yang agak panas dengan asap masuk ke mata, tidak menghalang niat saya nak makan kambing. Alhamdulillah, dapat merasa kambing bakar.

Sedang menikmati jamuan, kami berborak kosong sambil menghabiskan sisa – sisa makanan yang ada dalam pinggan kami. Sambil berborak, terkeluar satu soalan “sapa kawan kita yang ada sekitar ni ye?”, kalau ada boleh melawat (begitulah soalannya kot)”. Memang ada kawan kami sekitar Sekincan. Usai makan, setelah memesej Laily Syuhaida dan Siti Aishah, kami ke Sekinchan untuk jalan – jalan jumpa kawan. Dah alang – alang ada kereta, dapat berkunjung ke rumah Laily dan Aishah. Lebih kurang 2 jam kami menghabiskan masa di kedua – dua rumah.

Tarikh: 23 Syawal 1435H/19 Ogos 2014 (Selasa)
Tempat: Bahagian Pembangunan Tanah

Minggu terakhir Syawal masih ada jamuan Hari Raya di Pejabat Daerah/Tanah Kuala Selangor. Kali ini jamuan bertempat di Bahagian Pembangunan Tanah, ground floor pejabat. Ada Nasi Beriani, Lemang, Laksa dan buah – buahan disediakan.

Yang dicari tak ada, makanlah apa yang ada je. Saya mencari Satay sebenarnya. Namun hampa sebab tak disediakan. Nasi Beriani pun boleh je. Laksa Penang mengambil tempat seusai makan Nasi Beriani.

Tarikh: 24 Syawal 1435H/20 Ogos 2014 (Rabu)
Tempat: Unit Hasil

Hari ini, jamuan Hari Raya mengambil tempat di Unit Hasil, Ground Floor Pejabat Tanah Kuala Selangor. Juadah agak menarik. Saya makan Mee Kari dan Roti Jala. Makan sikit - sikit je..



Tarikh: 25 Syawal 1435H/21 Ogos 2014 (Khamis)
Tempat: Rumah Kak Ita & Bahagian Pembangunan

Hari ini, ada 2 jemputan Open House. Pertama di rumah Pn Julita, salah seorang Pegawai Tadbir di Unit Pentadbiran A dan lagi satu di Bahagian Pembangunan, Pejabat Daerah/Tanah Kuala Selangor.

Kami ke rumah Kak Ita sekitar jam 9.45 pagi




Tempat: Unit Pelupusan, Pejabat Daerah/Tanah Kuala Selangor
Tarikh: 22 Ogos 2014 (Jumaat)
Masa: 10.30 pagi – 1.00 tengah hari


Tempat: Unit Teknikal & Penguatkuasaan, Pejabat Daerah/Tanah Kuala Selangor
Tarikh: 22 Ogos 2014 (Jumaat)
Masa: 3.00 pagi – 4.30 tengah hari

Jamuan Hari Jumaat menyaksikan dua sesi yang berbeza, sesi pagi dan sesi petang. Jam 8.30 pagi, telah berlangsung Bacaan Yaasin dan Tahlil kepada Allahyarham Hj Mohd Zin, salah seorang bekas kakitangan Pejabat Tanah.



Tempat: Medidata Sdn Bhd
Tarikh: 27 Syawal 1435H/23 Ogos 2014 (Sabtu)
Masa: 3.00 pagi – 4.30 tengah hari

Hari terakhir jamuan adalah hujung minggu lalu, bertempat dekat dengan kuaters yang saya duduki sekarang. Alhamdulillah, banyak hidangan yang disediakan termasuk sate, kambing panggang, nasi beriani dan lain - lain.

Tuesday, 26 August 2014

Berkat: Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani


Yang sedikit dirasakan Banyak

Sesuatu yang Susah dirasakan Senang

Sesuatu yang Sakit dirasakan Kesembuhan

Jaga masa untuk dapat berkat

Allah beri berkat melalui individu: 

  1. Rasulullah
  2. Ibu Bapa
  3. Org Alim
  4. Amalan yang boleh dapat berkat

Sumber Gambar: FB Ustaz Ahmad Dusuki

Monday, 18 August 2014

Seputar Krisis MB Selangor: Suatu Pandangan Peribadi


Assalamualaikum W.B.T

Alhamdulillah, kita masih lagi dikurniakan kesihatan oleh Allah s.w.t untuk meneruskan kehidupan dan amalan sebelum menuju kematian.

Entri kali ini adalah PANDANGAN PERIBADI saya tentang isu MB di Selangor ini. Tiada kaitan dengan mana – mana pihak. Mungkin ada yang bersetuju dan sebaliknya dengan pandangan yang saya utarakan dalam entri kali ini. Tak ada masalah sebab setiap orang ada pandangan dan hujah masing – masing tentang sesuatu isu.

Saya teringat akan kata – kata seseorang yang lebih berusia dari saya sebelum PRU 13 yang lalu. Katanya “apa ko tahu tentang politik?”. Seolah olah tidak membenarkan saya bercakap soal politik. Memang benar, orang muda seperti saya tidak mempunyai pengalaman dan ilmu tentang dunia politik ni berbanding dengan orang yang berusia yang lebih makan garam dulu. Kaya dengan pengalaman dan pengetahuan dalam pelbagai perkara termasuk soal politik terutamanya bagi mereka yang terlibat secara langsung dalam bidang ini.

Tapi, adakah kami tidak boleh berbicara soal politik ni? Atas sebab apa?. Kalau sebab kami orang muda yang tiada pengalaman, rasanya tak sesuai alasan itu digunakan untuk menghalang golongan muda berbicara soal politik. Golongan muda pada pandangan saya lebih terdedah dengan pelbagai maklumat yang terdapat dalam media sosial dan media elektronik. Bagi anak muda yang rajin membaca dan meneroka alam maya, tentunya mereka akan memperoleh maklumat tentang sesuatu isu terkini. Tinggal lagi perlu disahkan sama ada maklumat yang disampaikan atau yang disebarkan itu benar – benar sahih dan tepat tentang sesuatu isu yang terjadi.

Pada saya juga, tak salah pelajar di IPTA dan IPTS berbicara soal politik dan kenegaraan, aktif dalam parti politik yang didokong asalkan tidak mengganggu pelajaran dan tidak membawa fahaman politik dalam kampus secara melampau. Tiba masa untuk pelajar belajar politik secara “teori dan amali” dalam mempersiapkan mereka menjadi pemimpin pelapis masa akan datang.

Isu MB Selangor: Suatu pandangan

Isu pertukaran MB Selangor, YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dipecat dari PKR dengan dicadangkan Presiden PKR, Dato’ Seri Dr Wan Azizah bt Wan Ismail telah heboh dalam pelbagai media massa sejak beberapa bulan dan minggu yang lalu sehingga kini. Saya tidak berhasrat untuk mengulas secara terperinci tentang kemelut ini sebab sudah banyak media massa yang telah melaporkan tentang perkara ini hampir setiap hari.

Ada pihak yang bersetuju dengan pertukaran ini dan ada pihak yang tidak bersetuju. Mereka yang bersetuju pastinya mempunyai sebab dan alasan kenapa perkara itu ingin dilaksanakan dan sebaliknya bagi mereka yang menolak sudah tentu ada hujah dan penjelasan kenapa mereka menolak pertukaran MB Selangor. Dalam hal ini, yang nyata PKR dan DAP menyokong agar Tan Sri Khalid ditukarkan dengan Dr Wan Azizah sebagai MB Selangor manakala PAS sudah menyatakan pendirian parti tersebut melalui Mesyuarat AJK PAS Pusat semalam yang saya pasti semua maklum tentang keputusannya.

Saya ada mendapatkan pandangan beberapa orang rakan tentang isu ini. Soalan reverse psikologi ditanyakan kepada mereka. Soalannya “apa tindakan yang akan dilakukan jika mereka sebagai Tan Sri Abdul Khalid bin Ibrahim?”. Ada dua jawapan yang saya dapat dalam “temu bual rawak” yang saya jalankan.

1. Ada yang menjawab bahawa cara yang terbaik untuk menghentikan isu ini adalah dengan MELETAK JAWATAN sebagai MB bagi mengelakkan isu ini berlarutan. Ini kata mereka sebab jawatan itu dipilih oleh parti dan perlu akur dengan arahan parti yang mencalonkan mereka sebagai Wakil Rakyat dan MB.

2. Ada juga yang bertegas akan KEKAL sebagai MB dan tidak akan meletak jawatan. Alasan yang diberi adalah tiada kesalahan atau kes rasuah yang disabitkan ke atas mereka sebagai MB. Buktikan jika ada kes rasuah atau penyalahgunaan kuasa dahulu. Ada juga akan mengambil tindakan mahkamah dan memecat mereka yang tidak sehaluan dengan MB. Jawapan ini sama dengan apa yang Tan Sri Khalid lakukan sekarang.

Apa perlu dibuat sekarang?

Taat dan ikut keputusan jemaah lebih baik

Seperti yang saya katakan diawal tulisan ini bahawa saya bukanlah orang yang mempunyai kelayakan untuk bercakap soal politik ini. Bukan juga orang alim yang boleh memberikan pandangan dalam hal agama.

Tetapi, berdasarkan kepada pembacaan, penelitian serta sedikit pengalaman saya, memang perlu dan wajib untuk taat pemimpin dan keputusan jemaah. Kalau tak nak ikut, baik jangan jadi pemimpin dan bersama jemaah. Keputusan jemaah atau keputusan secara kolektif berkumpulan itu lebih baik walaupun dirasakan sebaliknya.

Beri peluang penjelasan

Penjelasan tentang sesuatu isu yang dibangkitkan terhadap Tan Sri Khalid sepatutnya diberi peluang kepadanya untuk menjawab dan menjelaskan secara terperinci terhadap dakwaan yang dinyatakan terhadapnya. Pada saya, tidak elok dipecat tanpa diberi peluang untuk menjelaskan dan menjawab dakwaan yang dibangkitkan.

Beri peluang menjawab dan jika didapati bersalah, tindakan lanjut boleh diambil.

Tidak wajar dibelakangkan Sultan

Setahu saya, Sultan Selangor menolak permohonan menghadap oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada kali pertama. Dan surat kedua dihantar dengan ditandatangan sendiri oleh Dr Wan Azizah untuk menghadap Baginda. Penolakan permohonan menghadap itu mempunyai maksud yang hanya Tuanku Sultan sahaja yang tahu.

Seeloknya, pandangan Tuanku perlu diambil kira dalam hal ini. Disebabkan oleh baginda merupakan Ketua Negeri Selangor. Perkenan baginda amat penting dalam pelantikan MB selain persetujuan semua pihak dalam PR. Seeloknya, dicari calon lain yang “mesra Istana” untuk menggantikan calon MB sedia ada.

Perempuan boleh jadi MB?

Secara peribadi, memang saya inginkan LELAKI yang menjawat jawatan MB. Tapi tak ada salahnya perempuan jadi MB. Kalau perempuan boleh jadi wakil rakyat dan boleh jadi EXCO, tak ada masalahnya kalau dipilih jadi MB.

Saya pernah bekerja dengan orang perempuan sebagai bos saya suatu ketika dahulu. Walaupun ada sedikit “masalah”, tapi boleh diuruskan. Perlu diambil kira sama ada Undang – Undang Tubuh Kerajaan Selangor membolehkan perempuan menjadi MB. Kalau boleh, diteruskan jika mendapat persetujuan rakan PR dan perkenan Sultan.

“Mengalah lebih baik”

Ada perkara yang perlu kita “mengalah” dan ada perkara yang kita perlu bertegas. Sama ada mahu “mengalah atau bertegas”, itu juga terpulang pada diri sendiri. Orang lain hanya boleh cadangkan, tetapi yang membuat keputusan adalah diri sendiri.

Pendapat saya secara peribadi adalah eloklah MB Selangor berundur (kalau mahu) dari jawatan MB bagi menyelamatkan negeri, parti dan PR.

Pilihan sekarang ada pada tangan YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Tuanku Sultan Selangor. Ada "cara mudah" dan "cara susah" yang boleh digunakan oleh Tan Sri Khalid untuk menyelesaikan isu ini dari berlarutan.

Hanya "tuan punya badan" yang boleh mengakhiri kemelut ini dari berlanjutan.

Kepada Allah S.W.T jua kita berserah segala urusan agar dipermudahkan.


Monday, 11 August 2014

Ustaz Haslin Baharim: Keluarga Bahagia


Kebahagiaan hakiki adalah Kurniaan Allah s.w.t

Ciri – ciri asas kebahagiaan rumah tangga:

  1. Berkasih sayang antara pasangan, rasa senang, rasa seronok
  2. Kenal mengenal antara satu sama lain
  3. Saling faham memahami dalam rumah tangga
  4. Rasa tolak ansur dalam pasangan
  5. Semangat tolong-menolong dalam rumah tangga (tolong isteri)
  6. Pasangan adalah amanah dari Allah s.w.t
  7. Saling harmonikan rumah tangga
  8. Ambil hati antara satu sama lain/ jaga hati
  9. Kena banyak sabar dalam rumah tangga
  10. Jangan berprasangka buruk dengan pasangan
  11. Rumah tangga bahagia bila ada anak soleh dan solehah

Antara ciri yang boleh diamalkan dalam kehidupan

Wednesday, 6 August 2014

Antara Sunnah dalam Kehidupan Nabi S.A.W


  1. Nabi s.a.w ajar sikat rambut belah dua, turun ke bawah.
  2. Nabi larang potong rambut belah tepi, simpan rambut atas sahaja.
  3. Utamakan tangan kanan dalam semua perkara yang baik.
  4. Jangan minum/makan dengan berdiri/berjalan.
  5. Jangan makan dengan pisau ditangan.
  6. Jangan campur makanan darat dengan laut.
  7. Makan buah/ sayur dahulu sebelum makan makanan berat.
  8. Keburukan makan buah selepas makan berat: mengganggu sistem penghadaman, jadi mengantuk.
  9. Nabi tidur sebelah kanan.
  10. Nabi suka kurma, labu, timun.

Ceramah oleh: Ustaz Shahul Hamid (PU Shahul)

Sumber Video Penuh: Sunnah Dalam Kehidupan

Sumber gambar: https://www.facebook.com/ustazshahulhamid165

Semoga menjadi panduan dan ingatan buat kita semua untuk diamalkan dalam kehidupan seharian. Walau sedikit, moga dapat memberi manfaat yang besar.

Jom amal ikut Nabi s.a.w.

Insyallah...


Monday, 4 August 2014

Coretan Aidilfitri 1435H/2014M


Assalamualaikum W.B.T

Sebelum memulakan coretan ini, rasanya belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua umat Islam yang mengenali diri ini. Maaf Zahir Batin.

Alhamdulillah, segala pujian dipanjatkan kehadrat Allah S.W.T atas nikmat kesihatan dan kehidupan yang masih lagi diberi untuk menyambut lebaran kali ini setelah berpuasa di Bulan Ramadhan. Tak lupa nikmat yang paling besar adalah nikmat Iman dan Islam yang sewajarnya disyukuri oleh kita semua.

Hari ini coretan saya berkisar sambutan Hari Raya dikampung. Maklumlah, dah nama tajuk entri "Coretan Aidilfitri 1435H/2014M", memang pasal rayalah.

Sambutan raya tahun ini saya rasa ada sedikit kelainan pada saya secara peribadi. Yang paling istimewa adalah dapat beri duit raya kepada Ibu Bapa dan sanak saudara yang berkunjung ke rumah. Walau tak banyak. ok lah tahun pertama bagi duit raya. Insyallah, tahun depan ada rezeki boleh bagi lagi dengan jumlah yang "besar sedikit".

Tahun ini ada sedikit kelainan sebab khutbah Hari Raya dibaca oleh abang saya. Kebiasaannya, dibaca oleh ayahanda saya. Mungkin nak ubah selera kot, bagi orang muda yang baca khutbah. Cuma Solat Sunat Aidilfitri yang diimamkan oleh ayah saya.

Raya tahun ini juga kami menziarahi kubur pada petang hari raya ke 2. Biasanya, tahun - tahun sebelumnya kami ke kubur pada hari raya pertama, sejurus selesai Solat Aidilfitri. Maklumlah, hari pertama dah "diserang" oleh tetamu dan sanak saudara yang bertandang. Juga agak sibuk hari raya pertama sebab ada kenduri tahlil depan rumah. Kalau tak pergi, tak eloklah pulak. Adab berjiran walaupun majlis itu "tak kena masanya".

Tahun ini juga menyaksikan " pra reunion" sanak saudara saya di Kampung Temila. Bukanlah reunion sangat, sekadar berkumpul bersama - sama dan makan - makan je. Yang datang pun sanak saudara terdekat je. Ada yang tak datang sebab tak plan pun. Orang putih kata planning on the spot.

Disebabkan oleh status sebagai pekerja (walaupun pekerja sambilan sahaja), dapatlah bagi duit raya dekat Ibu Bapa. Tapi masalahnya gaji masuk hari raya ketiga. Terpaksa guna duit Tabung Haji nak bagi duit raya. Memang mereka tidak mengharapkan duit pun. Tapi, dah berniat nak bagi gaji pertama kat mereka. Walaupun sikit, adalah sekeping dua. Tak rugi bagi duit raya ni, Insyallah ada balasannya.

Bak kata orang putih "The More You Give, The More You Get Back".



Saturday, 2 August 2014

5 Perkara yang perlu disegerakan



  1. Hidangkan makanan/minuman bila tetamu datang ke rumah.
  2. Uruskan jenazah dengan segera.
  3. Kahwinkan anak perempuan bila sampai masanya.
  4. Bayar hutang dengan segera.
  5. Istighfar minta ampun dengan segera
Oleh: Ustaz Fawwaz Md Jan

Sumber gambar: palletrohani

Kutipan Derma