Monday, 30 March 2015

Tazkirah Ringkas: Layanan Anak - Anak

Layanan kepada Anak - anak

Anak Umur 1 - 7: Layan anak macam Raja
Anak Umur 7 - 14: Layan anak macam Hamba
Anak Umur 15 Keatas: Layan anak macam Kawan
Pisahkan tempat tidur anak - anak masa umur 10 tahun

Pesanan Saidina Ali

Tazkirah oleh: Ustaz Muhammad Fawwaz bin Mohamad Jan

# Sekadar Perkongsian Bersama.
# Mohon Teguran Jika Ada Kesilapan.
# Daripada ‘Abdullah bin ‘Amru bin al-‘Ash ra., Rasulullah SAW bersabda: “Sampaikanlah dariku walau satu ayat, dan ceritakanlah tentang Bani Israil tanpa perlu takut. Dan barangsiapa berbohong ke atasku dengan sengaja maka bersiaplah dia mengambil tempatnya di Neraka.” (Al-Bukhari).

Friday, 27 March 2015

Hudud Kelantan: Pandangan Peribadi II

Pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) bagi negeri Kelantan nampaknya semakin panas dari hari ke hari. Kalau diamati dalam media massa, pelbagai jenis manusia yang memberikan pendapat dalam isu ini. Ada yang bersetuju, ada juga yang masih diam membisu dan tidak kurang juga terdapat mereka yang menentang habis habisan perkara ini. Semua ini boleh dibaca dalam media cetak dan media elektronik.

Kadang kala, bila membaca kenyataan atau post orang - orang tertentu sebagaimana yang disiarkan dalam surat khabar ataupun dalam laman sosial facebook masing - masing, banyak persoalan yang timbul yang pastinya memerlukan suatu jawapan yang terbaik bagi meleraikan kekusutan ini.

Bila ada orang yang menyatakan bahawa hukum hudud ini tidak sesuai untuk dilaksanakan di Malaysia kerana masyarakat majmuk. Soalnya, adakah perlu menunggu "masyarakat yang tidak majmuk" baru boleh dilaksanakan? Bila pula masanya?

Bila ada orang yang menyatakan bahawa hukum hudud ini tidak boleh dilaksanakan masa sekarang. Habis tu bila boleh dilaksanakan? Kerajaan Kelantan sudah lebih 20 tahun berusaha kearah pelaksanaan hukum ini dengan pelbagai seminar, ceramah kefahaman tentang hudud dilaksakan untuk rakyatnya bagi memberi faham akan undang - undang ini. Adakah perlu menunggu 20 tahun lagi untuk dilaksanakan hudud ini? Siapakah yang boleh memberi jaminan bahawa hukum ini akan dilaksanakan 10 tahun lagi? 

Kalaulah kerajaan boleh memberi kefahaman kepada rakyat berkenaan dengan pelaksanaan GST menerusi televisyen, radio, surat khabar dan sebagainya, maka tidak menjadi masalah rasanya untuk memberi kefahaman tentang keindahan Hudud melalui media massa. Nak seribu daya, tak nak seribu dalih.

Semoga Allah s.w.t memudahkan pelaksanaan Undang - Undang Hudud ini di negeri Kelantan dan memberikan hidayahNYA kepada umat Islam dan Bukan Islam di negara ini dalam memahami dan menerima Hudud. Sesungguhnya DIAlah yang Maha Mengetahui akan segala yang terbaik untuk hamba - hambanya.

# Jom Sokong Hudud.
# Sekadar Pandangan Peribadi.

Monday, 23 March 2015

Hudud Kelantan: Suatu Pandangan Peribadi

Isu pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS) II Kelantan Tahun 1993 pindaan 2015 memasuki fasa baharu apabila pindaan kepada enakmen yang diluluskan 22 tahun yang lalu (25 November 1993) diluluskan pada 19 Mac 2015 yang lalu. Kesemua ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) yang hadir menyokong undang - undang ini untuk dilaksanakan nanti. 

EKJS II Kelantan mengandungi Hukuman Hudud, Qisas dan Takzir. Tetapi panggilan popularnya ialah Undang - Undang Hudud.

Sebagai rakyat negeri Kelantan ini, memang merasa bangga kerana Isu Hudud ini telah lama dibangkitkan dan diulang siar menjelang berlakunya Pilihanraya Umum dahulu. Kononnya, Hudud ini hanya omongan kosong pihak tertentu untuk memenangi pilihanraya semata mata. Namun, setelah diluluskan minggu lepas, kata - kata diatas sudah tidak kedengaran lagi. Komitmen yang diberikan oleh Kerajaan Kelantan untuk melaksanakan enakmen ini mendapat pelbagai reaksi dari pelbagai pihak. Ada yang positif dan ada juga pandangan yang negatif.

Saya ingin berkongsi beberapa persoalan yang ditimbulkan dalam pelbagai media massa. Ini hanyalah pandangan peribadi sahaja.

Hudud PAS? Hudud Politik?

Frasa kata "Itu hudud PAS", tak payah sokonglah" memang muncul pada pandangan sesetengah orang. Saya pun tak faham. Apa ada ke hudud PAS atau hudud UMNO dalam Al Quran?. Setahu saya, enakmen ini dibuat berdasarkan kepada Al Quran, As Sunnah, Ijmak dan Qias Ulamak. Ini kerana ada hukuman yang dinyatakan secara Qati'e dalam Al Quran dan ada yang tidak dinyatakan.

Kalaulah enakmen hudud yang diluluskan oleh Kerajaan Kelantan itu dilabelkan Hudud PAS, maka datangkanlah hudud yang sebenarnya!. Adakah kalau UMNO yang membuat enakmen hudud itu, terus akan jadi Hudud UMNO?.

Pada saya, nama ini adalah yang diberi oleh manusia. Selagi mana undang - undang itu bersumberkan Al Quran dan As Sunnah serta Ijmak dan Qias, maka ia adalah undang - undang Allah s.w.t. Cuma yang berbeza adalah siapa atau kumpulan mana yang berusaha kearah pelaksanaannya sahaja.

Bercanggah dengan Perlembagaan?

Memanglah, EKJS ini bercanggah dengan Perlembagaan. Ini kerana kuasa Jenayah merupakan bidang kuasa Persekutuan dan Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa untuk membuat sebarang undang - undang yang bukan dalam bidang kuasanya. 

Sebab itulah, Kerajaan Negeri Kelantan membawa perkara ini kedalam sidang DUN untuk dibahas dan diluluskan. Selepas ini akan dibawa ke Parlimen untuk proses seterusnya. Enakmen ini akan berjalan mengikut proses demokrasi yang pastinya bukan suatu yang senang.

Bukan Masanya? Tidak Sesuai Lagi?

Ada juga sesetengah pendapat yang mengatakan bahawa Hukuman Hudud ini tidak sesuai untuk dilaksanakan pada masa sekarang kerana suasana yang tidak kondusif katanya. Kerana masyarakat majmuk yang tidak memungkinkan hukuman ini dijalankan.

Bukankah sudah dinyatakan bahawa hukuman ini hanya untuk Orang Islam sahaja?. Orang Bukan Islam tidak terlibat langsung dalam perkara ini. Tak perlulah kecoh sangat.

Baiklah, kalau masa sekarang tidak sesuai dilaksanakan, bila masa yang sesuai untuk dilaksanakan? Adakah perlu menunggu 20 tahun lagi? Atau sehingga semua faham akan hukum ini?

Saya nak cadangkan agar berilah peluang untuk undang - undang ini menjadi suatu kenyataan dahulu. Disamping bersama - sama dengan pelaksanaannya itu nanti dijadikan suasana yang kondusif itu menjadi kenyataan. Alangkah baiknya kalau kempen tentang keindahan Hukum Hudud dilaksanakan sebagaimana kempen GST. Tentu ramai yang akan faham.

Harapan

Saya mengharapkan agar undang - undang ini menjadi kenyataan suatu masa nanti. Perbezaan pendapat dalam soal pelaksanaan dan teknikal tidak menjadi masalah. Jangan nanti perbezaan itu menjadi seolah - olah menolak Hukum Allah s.w.t itu. Rosak Akidah....

Tiba masanya untuk meletakkan undang - undang Allah s.w.t di tempat yang tertinggi dalam perundangan negara. Bersama kita doakan yang terbaik untuk perkara yang baik ini.

# Sekadar Pandangan Peribadi.
# Pandangan Manusia boleh Berbeza, tetapi Ketetapan Allah s.w.t tidak ada keraguan padanya.
# I Love Hudud.

Friday, 20 March 2015

Tazkirah Ringkas: 5 Tanda Orang Celaka

Ada 5 tanda orang yang celaka (Fudhail bin Iyadh)
1. Keras Hatinya (tak mahu terima kebenaran/peringatan).
2. Mata yang tidak pernah menyesal/menangis takutkan Allah s.w.t.
3. Tidak malu/Kurang rasa malu. [Malu sebahagian daripada Iman].
4. Orang yang panjang angan - angan.
5. Sangat Cintakan/Inginkan dunia.

Tazkirah oleh: Ustaz Mohd Hadi Talhah [Kuliah Maghrib]
6 Mac 2013, 23 Rabiul Akhir 

# Sekadar Perkongsian Bersama.
# Mohon Teguran Jika Ada Kesilapan.
# Daripada ‘Abdullah bin ‘Amru bin al-‘Ash ra., Rasulullah SAW bersabda: “Sampaikanlah dariku walau satu ayat, dan ceritakanlah tentang Bani Israil tanpa perlu takut. Dan barangsiapa berbohong ke atasku dengan sengaja maka bersiaplah dia mengambil tempatnya di Neraka.” (Al-Bukhari).

Thursday, 12 March 2015

Masjid Beijing, Rantau Panjang, Kelantan.

Pandangan dari depan masjid
Dah lama tak update blog ni. Sebab malas dan tak ada isu sangat yang nak dikongsikan. Ada cerita, boleh update lah blog ni...

Semalam, 11 Mac 2015, saya bersama - sama "rakan sekerja di Allianz Malaysia Kota Bharu telah menerjah Pekan Rantau Panjang untuk edar risalah tentang Pelan Simpanan di Allianz Malaysia.

Dalam perjalanan nak ke Pekan Rantau Panjang, kami singgah sebentar di Masjid Beijing untuk solat Zohor. Maklumlah, bertolak dari Kota Bharu pun dah pukul 12 tengahari. Memang panas terik cahaya matahari memancar diatas kepala. Sebelum solat, sempat ambil gambar masjid.

Landmark Rantau Panjang
Excited juga sebab pertama kali ke Masjid Beijing dan Pekan Rantau Panjang sepanjang umurku 25 tahun. Inilah kali pertama menjejakkan kaki ke Rantau Panjang. Orang kata, kala tak pergi sendiri tak tahu suasana macam mana. Kalau nak tahu tentang sejarah masjid ni, boleh tanya Pak Cik Google lah. Sebab tak berhasrat nak ceritakan disini. Cukup hanya gambar sahaja.

Alhamdulillah, misi kami boleh dikatakan berjaya. Boleh tengok - tengok tempat untuk dibuka booth untuk promosi Pelan Simpanan di Allianz Malaysia kat sana. Dari perbincangan awal, tidak ada persetujuan nak buka booth di sana. Dek kerana jarak dan kedudukan kedai yang kurang strategik untuk buka booth. Insyallah, akan diusahakan tempat lain.

Alang - alang dah pergi, selit juga dua tiga keping flyers kat kereta di Pekan Rantau Panjang tadi. Insyallah, kalau ada rezeki, adalah. Yang penting, usaha yang dibuat....

# Masjid Beijing, Rantau Panjang, Kelantan.
# Edar Flyers promosi Pelan Simpanan di Allianz Malaysia.
# Ada Usaha, Ada Hasilnya. Insyallah...

Pandangan dari belakang masjid

Friday, 6 March 2015

Cabaran Pekerja Baru BDE Allianz Malaysia

Semalam, genap 4 hari saya mencuba nasib bekerja sebagai seorang Business Development Executive (BDE) di syarikat Allianz Malaysia Kota Bharu. Jawatan yang memang berbeza dengan apa yang saya harapkan dan bukan dalam bidang pengajian. Walau apa pun, saya nak cuba kerja dalam bidang ini dahulu. Cari pengalaman dalam bidang yang lain...

Masa tengok iklan di laman web masa dulu, memang menarik tawaran dia. 

Iklan dia kat bawah ni....

Kerja Kosong Clerk Admin/Executive - 28 Feb 2015
Jawatan Kosong Clerk Admin/Executive

Peluang bekerja di Syarikat Kewangan Terkukuh di Malaysia

Syarat-syarat bagi permohonan jawatan Clerk Admin/Consultant

-Kelayakan Spm,Diploma,Degree
-Minimum Umur 21-30 tahun
-Mempunyai kenderaan sendiri
-Tiada Pengalaman/ Berpengalaman dialukan
-Training disediakan
-Berpewatakan Menarik

Berminat sms nama, umur,lokasi & jenis kenderaan ke 0183198023
contoh: zaara, 25 tahun, kuala lumpur, kereta hantar ke 0183198023

2 Mac 2015 yang lalu, saya dipanggil untuk sesi temuduga di Pejabat Allianz Kota Bharu. Ada lah dalam 15 orang yang dipanggil untuk temuduga. Bukan temuduga sangat. Lebih kepada penerangan tentang jawatan yang ditawarkan sebagai Business Development Executive (BDE) dan apa yang perlu dibuat. Yang terima jawatan ini seramai 7 orang sahaja.

Secara mudahnya, tugas kami adalah untuk mencari pelanggan baru, menabung dengan Allianz Malaysia dengan beberapa kelebihan yang ditawarkan kepada pelanggan. Kami perlu promote Plan Simpanan Allianz.

Minggu ni, tugas kami adalah buat call dan set up appoinment dengan pelanggan untuk diterangkan pasal plan simpanan ini. Yang menjadi cabaran terbesar bagi saya dan semua rakan baharu BDE adalah macam mana nak buka minda masyarakat tentang kepentingan simpanan ini. Bila diterangkan pasal nama syarikat pun, masih ramai yang tak tahu. Insyallah, usaha dan penerangan yang akan dibuat akan membuahkan hasil yang terbaik nanti.

Sekarang ni, misi utama nak buka minda dulu. Sambil cari pelanggan yang nak masuk sekali lah.

# Kalau ada yang nak tahu apa Plan Simpanan di Allianz dan kelebihan - kelebihan yang ditawarkan, boleh call saya di talian 017-9620966.
# Kalau pelanggan sekitar Kota Bharu, saya yang akan ke tempat anda untuk penerangan. Hanya set up Tarikh, Masa dan Tempat mana ingin berjumpa.
# Penerangan sahaja. Tidak dipaksa untuk menyertainya.
# Segalanya PERCUMA. Tiada cas dikenakan.
# Salam Jumaat

Sunday, 1 March 2015

Teringat Masa Lalu....

Tempatku menuntut Ilmu dahulu...
Hari ini merupakan Hari pendaftaran pelajar lama bagi UiTM yang berjaya memperoleh Kolej Kediaman masing - masing. Pada 21 - 27 Februari 2015 yang lalu pula merupakan tarikh pendaftaran Pelajar Baru di UiTM.

Kalau nak diimbau kembali masa saya belajar di UiTM Kampus Puncak Perdana, Shah Alam hampir 4 tahun yang lalu, memang banyak kenangan pahit dan manis yang tersimpan kemas dalam diari hidupku. Tanggal 26 Jun 2010 merupakan tarikh keramat permulaan pengajian dan kehidupan di kampus bagi diriku. Maklumlah, hari pertama mendaftar masuk sebagai pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Pengajian Maklumat (Kepujian)(Pengurusan Rekod) di Fakulti Pengurusan Maklumat, UiTM Puncak Perdana.

Memang rasa keseorangan hari tu. Al maklumlah kita kan orang baru ditempat yang asing. Seminggu mengikuti Minggu Destini Siswa (MDS) di kampus bagi pelajar baru memberi peluang kepadaku untuk kenal mengenali kawan - kawan baru. Minggu pertama dan kedua di kampus memang susah sikit nak cari kawan sebab masing - masing tak kenal lagi. Bila dah masuk kelas, dah ok lah. Kawan - kawan pun dah kenal semuanya. Tak ada masalah sangatlah.

Kalau nak cerita tentang kenangan masa belajar dulu memang boleh buat buku dah. Banyak sangat cerita yang boleh dikongsikan kepada semua. Namun, biarlah cerita itu menjadi rahsia untuk ku simpan dalam lipatan sejarah sahaja.

Nak pesan sikit buat adik - adik yang baru masuk UiTM khususnya. Aktifkan dirimu dalam setiap aktiviti di kolej. Timba sebanyak mugkin pengalaman dalam persatuan, badan beruniform dan kelas. Jangan hanya jadi pelajar yang ingin belajar sahaja. Jangan jadikan hanya Kelas, bilik dan tempat makan sahaja yang menjadi tempat persinggahan. 

Sertailah persatuan di kampus. MPP, JPK, PMH dan pelbagai lagi persatuan yang boleh disertai dalam mengasah bakat kepimpinan dalam diri sendiri. Jangan lupa, waktu di kampus merupakan waktu yang berharga sebab banyak masa untuk diri sendiri. Gunakan sebaik mungkin untuk beribadah dan kenal mengenali dengan kawan - kawan lain, walaupun bukan sekelas dengan kita.

Akhir sekali, Selamat Menempuh Cabaran sebagai Pelajar di kampus masing - masing. Selamat Belajar kepada semua...

# Sekadar Berkongsi Pandangan.
# Selamat Menjadi Mahasiswa/wi.
# Aktifkan diri dalam Kokurikulum di kampus.

Daulat Tuanku