Saturday, 20 December 2014

UPSR 5A: Tunai Janji


Bila berjanji, wajib ditunaikan kan?. 
Alhamdulillah, dua minggu lepas, dapatlah melunaskan janji nak belanja KFC anak saudara, Mirza Ayuni yang dapat 5A dalam UPSR dulu. Dah janji, tunaikanlah.


Tapi, saya tak bagi duit cash. Dia nak beli buku. Jadi kami ke Muda Osman untuk beli buku. Semua judul buku yang dibeli adalah pilihan dia sendiri...

Apa pun, perjalanannya masih jauh dan penuh dugaan serta cabaran menanti. Semoga anak saudara sulungku ini dapat melangkah ke hadapan dengan semangat dan jiwa kental untuk berjaya didunia dan akhirat.
Saja post gambar makan KFC


Friday, 19 December 2014

Banjir: Musibah dan Ujian Ilahi


Terminal Bas Pasir Puteh ditenggelami air bah





Musim Tengkujuh yang melanda Negeri - Negeri Pantai Timur serta beberapa negeri lain di Malaysia merupakan Musibah dan Ujian dari Allah s.w.t. Khusus di Negeri Kelantan, keadaan banjir tahun ini antara yang terburuk berbanding tahun lepas.

Manakan tidak, seingat saya Bandar Pasir Puteh (Stesen Bas dan kawasan sekitarnya) tidak pernah dinaiki air sehebat tahun ini. Tak dapatlah nak ke bandar untuk buat apa - apa urusan buat masa ini disebabkan oleh beberapa jalan dinaiki air.

Gambar diatas dikongsikan buat tatapan umum. Ada yang dikongsi oleh rakan maya lain. Selebihnya, gambar sekitar Jalan Machang - Pasir Puteh Lama.

Kepada yang membaca blog ini, sama - sama kita doakan mereka yang terlibat banjir agar diberikan ketabahan dalam menghadapi Ujian dan Musibah ini. Dan semoga banjr ini akan beransur surut nanti. Panjatkan doa dan apa bentuk pertolongan agar diringankan beban yang ditanggung ini.

Ya Allah, permudahkan segala yang sulit bagi kami. 

Monday, 15 December 2014

Rasuah: Sebuah Catatan...

Rasuah mempunyai pelbagai definisi dan panggilan yang boleh diberikan dan digunakan oleh pelbagai pihak. Ada yang panggil Suapan, Duit Kopi dan sebagainya. Dari segi definisi pula, kalimah Rasuah berbeza maksudnya antara satu pihak dengan pihak yang lain. Namun, itu bukan menjadi masalah utama yang perlu dibahaskan. Apa yang paling utama adalah "apa sebab rasuah berlaku dan apa yang perlu dibuat untuk mengurangkan dan mengatasi masalah itu".

Secara umumnya, pada pandangan saya Rasuah bermaksud sesuatu perkara atau pemberian yang dilakukan atau diberikan untuk memperoleh sesuatu keuntungan daripada pemberian/ hadiah/ ganjaran dan sebagainya yang dibuat samada oleh orang perseorangan atau organisasi. Manakala menurut Oxford Advance Learners Dictionary, Corruption mean dishonest or illegal behaviour, especially of people in authority. Ini adalah tafsiran saya sendiri, mungkin ada yang bersetuju dan ada yang tidak bersetuju. Bergantung pada diri masing - masing.

Tentang sebab - sebab berlakunya gejala Rasuah, saya fikir semua sedia maklum tentang penyebab berlakunya gejala ini. Antaranya adalah seperti:

1. Sifat dan Sikap Tamak Haloba.
2. Jalan Pintas untuk hidup mewah.
3. Tiada amalan nilai - nilai murni.
4. Penurunan kuasa berleluasa.
5. Penyalahgunaan kuasa.

Saya hanya ingin fokuskan ulasan dan pandangan saya hanya pada sikap individu yang sesetengahnya bersikap tamak haloba dalam mencari kekayaan. Kalau ada sikap dan sifat ini dalam mana - mana individu atau organisasi, sebanyak mana pun gaji yang diberi, pasti nak lagi. Kalau dah ada segunung emas, pasti nak lagi segunung. 

Setiap dari kita terutama sekali para penjawat awam mestilah menanamkan sikap dan sifat "berasa cukup dengan sedikit" agar dapat dihindari dari terjebak dengan rasuah ini. Terkadang terfikir jugak yang terima rasuah ini pun bukannya dari golongan "bilis - bilis", tapi ada juga "jerung - jerung" yang boleh dikatakan bergaji besar pun terlibat sama. Mungkin bila rasa tak cukup walaupun banyak gaji yang diperoleh menyebabkan masalah ini berlaku.

Parti Politik banyak Rasuah?

Semua pasti sedia maklum bahawa dalam Laporan Tentang Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2014 yang diumumkan oleh Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar menyatakan bahawa Parti-parti politik di negara ini dianggap sebagai institusi yang paling korup, diikuti oleh polis dan penjawat awam.

Laporan ini berdasarkan tinjauan Barometer Rasuah Malaysia 2014 yang dilakukan badan itu ke atas 2,000 responden dari pelbagai lapisan masyarakat.

"Ramai yang memilih parti politik, menunjukkan mereka tidak percaya kepada institusi berkenaan. Malah, ini kali pertama parti politik berada di kedudukan teratas berbanding tahun lalu, (iaitu) di tangga kedua.

"Secara peribadi bagi saya, korup dalam parti politik ini kebiasaannya melibatkan pemberian kontrak, perniagaan, lesen ali baba dan seumpamanya. Jadi, sebagai ahli politik, sepatutnya mereka tunjukkan contoh yang baik,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan keputusan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2014.

Seharusnya, parti - parti politik di Malaysia (Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) perlu memperbaiki "prestasi parti masing - masing dalam soal rasuah" agar tidak ditolak oleh rakyat dalam PRU 14 nanti. Sebab apa? Generasi Muda masa kini lebih melihat kepada isu - isu nasional yang menjadi faktor yang akan mendorong mereka memberikan undi kepada parti yang dirasakan boleh mengurus tadbir negara ini dengan lebih baik.

Senang cerita, parti yang banyak rasuah tidak akan diundi dalam PRU 14 nanti. Generasi Y yang akses kepada media sosial seperti Facebook, Blog, Twitter dam pelbagai aplikasi media baru pastinya mempunyai banyak maklumat yang boleh dijadikan asas dalam memberikan sokongan dan juga penolakan kepada parti - parti yang bertanding dalam PRU 14 nanti.

Apa nak buat? 

Kata orang, kalau nak cari kesalahan orang lain, memang senang dan mudah. Tapi, apa yang boleh kita cadangkan untuk mengatasi masalah ini?. Itu yang menjadi persoalannya.

Saya ada beberapa pandangan dan cadangan yang boleh dibuat dalam usaha membasmi musuh negara ini. Semoga berguna bagi mereka yang ingin melaksanakannya.

1. Tukar tagline Rasuah Suatu Jenayah kepada Rasuah Suatu Dosa Besar. Pemberi dan Penerima Rasuah Masuk Neraka. Sudah sampai masa untuk pihak berkaitan menggunakan pendekatan agama dalam mengatasi masalah ini dari terus merebak.

2. Kempen kesedaran, ceramah, iklan, seminar tentang rasuah perlu diteruskan dan semoleknya dimulakan dari pelajar sekolah rendah hinggalah kepada peringkat tertinggi dalam negara. Cara dan pendekatan yang ingin dilaksanakan itu mestilah mengikut keupayaan pendengar. Orang kata, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Diharapkan dengan pendedahan tentang rasuah dari awal usia boleh mengatasi masalah ini.

3. Perisytiharan harta bagi pegawai - pegawai kanan kerajaan dan parti - parti politik mesti dibuat dalam usaha mengekang masalah rasuah dari berlaku. Mungkin ada yang dah buat, tetapi perkara ini perlu didedahkan kepada umum melalui media massa agar semua dapat tahu tentang kemewahan dan aset yang dimiliki oleh para pegawai kanan kerajaan atau ahli politik.

4. Pelaksanaan tender terbuka dalam pemberian kontrak kerajaan samada diperingkat Kerajaan Tempatan, Kerajaan Negeri atau Kerajaan Pusat boleh mengurangkan amalan rasuah ini dari terus berlaku. Selain kerajaan dapat menjimatkan wang pembayar cukai dari membazir.

5. Akta khusus rasuah untuk mendakwa pesalah rasuah mungkin boleh difikirkan oleh pihak kerajaan dalam mengatasi masalah ini. Suatu akta atau pindaan terhadap akta sedia ada yang memberi kuasa kepada SPRM untuk mendakwa sendiri pesalah rasuah di Mahkamah Rasuah perlu diwujudkan bagi mengurangkan gejala rasuah dari berlaku.

6. Mewajibkan Ikrar Integriti Koprat kepada semua agensi kerajaan samada Kerajaan Tempatan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat boleh membantu mengurangkan masalah ini. Setahu saya, ikrar ini ditandatangani secara sukarela. Mungkin boleh diwajibkan suatu hari nanti. Kalau tak buat salah, tak perlu takut nak tandatangan ikrar ini.

7. Hukuman sebatan terhadap pelaku jenayah rasuah boleh diperkenalkan agar menggerunkan mereka yang ingin melakukan jenayah rasuah.

Sememangnya, pihak kerajaan melalui SPRM telah mengambil pelbagai langkah dalam usaha mengatasi gejala rasuah ini. Usaha yang dijalankan amatlah dipuji dan sewajarnya dipertingkatkan lagi bagi memastikan gejala ini dapat dibanteras sehingga ke akar umbi.

Kerjasama semua pihak amat penting dalam usaha untuk membanteras gejala rasuah dari merosakkan negara kita.

Bersama hapuskan RASUAH!!!

Monday, 8 December 2014

Tanggungjawab/ Amanah Kita

Tanggungjawab/ Amanah Kita
Oleh: Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan

Sumber Video: Abu Khadijah Studio

Ada 3 yang utama:

Amanah kepada Allah s.w.t
Amanah kepada Alam Sekitar
Amanah kepada Manusia lain.

Hadis diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a:

Hak Orang Islam kepada Orang Islam yang lain ada 6 Perkara adalah:

  1. Beri Salam kepada orang lain.
  2. Dijemput, mesti penuhi jemputan.
  3. Beri nasihat bila diminta.
  4. Bila bersin, doakan mereka.
  5. Bila sakit, pergi melawat.
  6. Bila mati, ikut jenazahnya.

1. Bila berjumpa, beri salam.

Perkara sunat yang lebih besar pahala dari yang wajib:

- Beri Salam hukum sunat (pahala besar) dari Jawab salam 

- Ambil air sembahyang awal sebelum waktu solat hukumnya sunat tapi boleh pahala besar berbanding ambil air sembahyang lewat.

- Bilal hukumnya Sunat, Imam hukumnya Wajib [Pahala jadi Bilal lebih besar berbanding jadi Imam].

- Beri hutang, berjanji bayar dalam suatu tempoh, wajib beri tangguh jika ada masalah.
Pahala halal hutang lebih besar dari tangguh bayar hutang.

"Orang tengah sibuk jangan bagi salam".

"Orang yang bergerak bagi salam kepada orang yang menetap".

"Orang yang muda bagi salam pada yang tua".

"Orang yang sedikit bagi salam pada yang banyak".

2. Penuhi [wajib] undangan bila dijemput.

Kenduri Kahwin wajib hadir
Jemputan kenduri lain adalah sunat hukumnya.

3. Beri nasihat bila diminta.

4. Bila Orang Islam bersin, dia ucap Alhamdulillah, kita doakan mereka Yarhamukallah.


5. Bila sakit, pergi tengok.

- Jangan lawat lama - lama, 5 minit cukup. Melainkan diminta, sunat duduk lama.

- Biar orang sakit banyak cakap, kita sebagai pendengar sahaja.

- Kalau hidang makanan, jangan makan depan orang sakit.

- Cakap perkara yang menggembirakan pesakit.

6. Bila mati, ikutlah jenazah.

Saturday, 6 December 2014

Info Surah - Surah Pilihan



Bacalah:

Surah Al Kahfi, ayat 1- 10 banyak - banyak

Surah Al Zalzalah sehari 2 kali.
(Dibaca sekali bersamaan Separuh Al Quran)

Surah Al Kafirun baca 4 kali.
(Dibaca sekali bersamaan 1/4 Al Quran)

Surah Al Ikhlas 3 kali.
(Dibaca sekali bersamaan 1/3 Al Quran)

Surah Al Mulk, Al Sajadah, Al Waqiah, Surah Yaasin
(Baca selepas Isyak/ sebelum tidur)
 
Sumber: 
 
Kuliah Maghrib
Kitab 40 Hadis Pilihan Ms 59
 
Oleh:
Ustaz Muhammad Fawwaz bin Mohamad Jan
[Abu Khadijah Studio] 

Thursday, 4 December 2014

Secebis Pengalaman, Secoret Kenangan

Gambar kilang Flextronics P3
Semalam, 3 Disember 2014, genaplah sebulan saya bekerja di Flextronics (P5, Perai, Pulau Pinang). Ini catatan pertama dan terakhir saya untuk entri kerja kilang ini. Sebab apa.......baca sampai habis entri kali ini.

Alhamdulillah, niat untuk mencari pengalaman bekerja sebagai "mat kilang" sudah tercapai dan terlaksana. Sejarahnya bermula kalau tak silap pada 27 Oktober 2014 di Dewan Majlis Daerah Machang, Kelantan. Temuduga terbuka telah diadakan disana dan saya telah mengunjunginya dan dipendekkan cerita, berjaya dalam "temuduga" sebagai Operator Pengeluaran di kilang Flextronics, Penang (tak da lah temuduga sangat, isi borang dan jawab soalan matematik sikit, dah dapat). Orang kata rezeki lah sebab memang kilang ni nak pakai ramai Operator. Beberapa ratus orang jugak lah nak pakai.

Sebab utama saya tertarik nak bekerja disini selain ingin mencari pengalaman kerja sebagai pekerja kilang adalah disebabkan oleh ada hostel yang disediakan oleh kilang (Flat di Taman Sungai Bakap Permai, berdekatan Nashmir) dan juga pengangkutan ke kilang setiap hari juga disediakan (bas kilang berwarna biru). Tanggal 29 Oktober 2014, saya dihubungi oleh pihak kontraktor (yang menguruskan pemergian saya ke sana) untuk confirmkan nak kerja di sana dan pada 2 November 2014, bertolak ke sana dengan bas yang disediakan oleh pihak kontraktor di Majlis Daerah Machang. Seingat saya, 10 orang sahaja yang datang untuk kali pertama bekerja di sini (4 Perempuan, 6 Lelaki).

Dipendekkan lagi cerita, 3 November 2014 - 7 November 2014, kami menjalani Training di kilang (secara teori) dan dibahagikan shif kerja masing - masing. Selesai training, 9 November 2014, bermulalah tugas sebagai pekerja kilang. Disebabkan oleh saya mempunyai Ijazah, maka ditawarkan saya sebagai Technician Assisstant bahagian Process (TA Process). Sebab masa temuduga dulu dah dijanjikan jika ada kelulusan tinggi, akan ditawar jawatan yang tinggi selain Operator. Oleh kerana nak timba pengalaman, maka saya terima jawatan tersebut sampai sekarang.

Di pasangkan saya bersama buddy (setiap pekerja akan diberikan buddy [pekerja yang dah lama] sebagai trainer). Saya berdua bersama seorang rakan sebagai TA Process. Di ajarkan kepada kami apa tugas - tugas yang perlu dibuat sebagai TA dan alhamdulillah, tidak lah sesusah yang disangka. Ramai jugak yang tanya "Macam mana minta TA?". Saya jawablah orang yang bagi sebab ada Ijazah. Dan lagi ramai jugak yang tanya "Berapa basic TA?". Saya jawab senang je TAK TAHU, sebab memang tak tahu sungguh dan tak pernah diberitahu pun berapa gaji TA. Nanti dapat gaji nanti baru boleh tahu lah.

Bekerja selama 12 jam dengan pusingan shif Pagi dan Malam merupakan perkara baru buat saya. Sebab sebelum ni bekerja 8 jam sahaja. Bergaul bersama bangsa asing (Nepal, Bangladesh, Indonesia dan lain - lain bangsa) memberi dimensi baru kepada saya yang sebelum ni hanya bergaul dalam kelompok Melayu sahaja. Kebanyakan dari mereka boleh berbahasa Melayu dengan agak fasih sebab dah lama kerja sini. Tapi ada juga yang tak boleh berbahasa Melayu. Memang terasa penat jugak lah sebab tak boleh nak duduk kalau shif pagi  sebab bos - bos ada. Kalau shif malam boleh duduk sekejap - sekejap.

Tanggal 30  November 2014, saya telah menyerahkan surat berhenti kerja sebagai TA Process atas 2 sebab yang utama. Sebab pertama adalah saya berhasrat untuk menyambung pengajian di Peringkat Sarjana (Master in Records and Document Management) Insyallah dijangka pada tahun 2015 dan sebab lain adalah mahu bekerja dalam kelulusan yang saya peroleh. Bak kata seorang pegawai tinggi dahulu " Tak ada guna awak belajar bertahun - tahun, banyak habis duit, tapi bekerja dalam bidang lain". Insyallah saya akan cari kerja yang sepadan dan saya boleh beri sumbangan semampu kelulusan yang saya peroleh.

Rezeki itu ada dimana - mana. Tak semestinya bila dah berhenti dari sesuatu jawatan atau kerja, tertutup rapat rezeki kita dalam bidang lain. Doa, Usaha, Ikhtiar dan Tawakkal kepadaNya agar semuanya dipermudahkan. Sesungguhnya Allah s.w.t sebaik - baik perancang.

Saturday, 29 November 2014

Kes Buli: Salah Siapa?


Kes Buli menjadi bualan hangat pelbagai peringkat masyarakat dan juga dalam media massa susulan kes buli yang terbaru berlaku dalam negara kita beberapa minggu yang lalu. Kes Buli yang melibatkan pelajar sekolah rendah (pelajar senior dan junior).

Mungkin sudah menjadi trend atau perkara biasa mutakhir ini apabila dilakukan apa – apa perkara, mesti nak upload dalam Youtube atau Facebook atau media sosial yang lain – lain. Seolah – olah ingin menunjukkan kepada dunia bahawa dia lah yang paling hebat sekarang ini. Seperti kes yang berlaku, rakaman kes buli dimuat naik dalam Youtube yang boleh ditonton oleh orang ramai bukan sahaja di negara kita malah  di seluruh dunia!.

Persoalannya sekarang, kenapa kes seperti ini berlaku? Apa puncanya? Semua ini menjadi persoalan yang perlu diambil perhatian oleh semua pihak bagi mengatasi masalah ini dari terus berlaku.

Saya bukanlah orang yang sesuai untuk mengulas isu ini. Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis. Mungkin berbeza pandangan dengan orang lain. Sekadar memberi cadangan atau nasihat sahaja.

Pengaruh Rakan Sebaya
Mungkin ini salah satu sebab kenapa kes ini berlaku. Atas desakan kawan yang lain, yang segeng dengannya, buli boleh berlaku. Yang senior paksa pelajar junior buli rakan lain.

Pengaruh Filem
Filem juga dikatakan memainkan peranan yang penting dalam membentuk peribadi masyarakat sekitar. Sebabnya filem merupakan naskhah yang berlaku dalam masyarakat, Cuma difilemkan. Mungkin pengaruh filem gengster menjadi inspirasi kepada pelajar untuk melakukan kes buli ini. 

Balas Pendendam
Mereka yang pernah dibuli mungkin cenderung untuk membuli orang lain. Sifat balas dendam ada dalam diri mungkin menjadi pendorong berlakunya kes ini.

Pihak berkaitan perlu duduk semeja bagi mancari jalan menyelesaikan masalah ini.

Sunday, 23 November 2014

Halaqah TV9: 5 Fasa Masa

Oleh: Ustaz Harryanto Rizal Rokman

Hadis Nabi pasal 5 Fasa masa ini membincangkan peristiwa yang akan datang.

Perkataan Nabi adalah petunjuk kepada kita.

Hadis 5 Fasa Masa ini merupakan berita gembira kepada Umat Nabi Muhammad s.a.w.

Fasa Pertama: Fasa Kenabian
Nabi bersama umat ketika itu.

Fasa Kedua: Fasa Khilafah, di atas jalan Nabi s.a.w (Fasa Khalifah Al Rasyidun)
Fasa ini disebutkan selama 30 tahun.

Fasa Ketiga: Fasa Pemerintahan yang Mengigit.
Bermula dari Bani Umaiyyah dan berakhir pada Zaman Uthmaniyyah.

Fasa Keempat: Pemerintahan Diktator/Pemerintahan dengan Paksaan/Penindasan.

Dipanggil juga sebagai Zaman Sekularisme (Pemisahan aktiviti dari agama).

Zaman kita sedang lalui sekarang.

Fasa kemuncak

Fasa Kelima: Fasa Khilafah, seperti mana zaman Rasulullah s.a.w.

Tuesday, 18 November 2014

Bubur Asyura Surau Taman Sungai Bakap Permai

Pada 9 November 2014 yang lalu, kami berkesempatan bersama - sama penduduk Muslim di Taman Sungai Bakap Permai, Sungai Jawi, Pulau Pinang menyediakan Bubur Asyura sempena Bulan Awal Muharram 1436 Hijriah bersamaan dengan tahun 2014 Masihi.

Memang terdapat banyak perbezaan antara Bubur Asyura Kelantan dan Bubur Asyura Sungai Bakap ni. Dan menurut penduduk, bubur asyura juga ada beza antara daerah di Pulau Pinang ni. Antara bahan yang dimasukkan dalam penyediaan bubur adalah seperti Kacang Merah, Kacang Hijau, Ubi Keledek dan Jagung. Cara pembuatannya tidaklah serumit mana. Cuma mengambil masa yang agak lama untuk masak.

Gambar kenangan memasak Bubur Asyura:





Makan lepas masak..panas - panas sedap sikit


Dimasukkan kedalam tupperware untuk diagihkan kepada orang lain


Sunday, 9 November 2014

7 Pesanan

Forum: Assalamualaikum Bro….Bila Lagi?

Ustaz Aswad bin Nasron

Kata Nabi: Dua perkara/nikmat yang manusia lupa/abaikan iaitu masa lapang dan masa sihat.

Nabi Bersabda: Segeralah kamu melakukan amal soleh sebelum datang 7 perkara:

  •  Jangan tunggu jadi miskin yang melupakan Allah s.w.t
  • Jangan tunggu sehingga kaya yang melampaui batas.
  • Jangan tunggu sampai sakit yang merosakkan badan.
  • Jangan tunggu bila tua yang melemahkan tubuh badan/mencacatkan jalan.
  • Jangan tunggu sampai mati bila nak beribadah kepada Allah s.w.t.
  • Jangan tunggu timbulnya Dajjal baru nak beribadah.
  • Jangan tunggu timbulnya Kiamat baru nak beribadat.

Sunday, 2 November 2014

3 Pesanan Ustaz Abdullah Khairi


Pesanan ustaz buat pasangan Suami dan Isteri untuk kebahagiaan rumah tangga anda.

Insyallah...

Pesanan buat si Suami:
  1. Jadilah pendengar yang setia kepada pasangan anda.
  2. Ubah Lidah (puji pasangan sekali sekala).
  3. Sentiasa Bertolak Ansur.
Pesanan buat si Isteri
  1. Berikan khidmat terbaik buat suami anda.
  2. Makan sekali dengan suami/temankan suami makan.
  3. Masa tidur, tengok muka suami dan berdoa yang baik - baik.

Monday, 27 October 2014

Karnival Kerjaya Machang 2014



Hari ini telah berlangsungnya karnival kerjaya di Dewan Majlis Daerah Machang..

Berkesempatan menyertainya dan ada berita gembira nak dikongsikan...

Tunggu entri seterusnya...

Saturday, 25 October 2014

PTD Outreach 2014


Hari ini, telah berlangsungnya Outreach Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) M 41 bertempat di Politeknik Kota Bharu, KM 24, Kok Lanas, 16450 Ketereh, Kelantan. Sepanjang pengamatan saya, jumlah peserta yang hadir lebih kurang 100 orang untuk sesi 9.00 pagi - 11.00 pagi tadi. Sebanyak empat sesi dijalankan kursus kepada calon - calon PTD M41 2014 iaitu 9.00 - 11.00 pagi, 11.00 - 1.00 petang, 2.00 - 4.00 petang dan 4.00 - 6.00 petang.

Ada beberapa perkongsian yang boleh dikongsikan untuk panduan semua.

Maklumat am mengenai PTD M41.

Permohonan untuk jawatan ini: 134, 391 orang.

Calon yang layak mengikut skim perkhidmatan: 131, 815 orang. (CGPA 3.0 dan keatas)

Calon layak menduduki ujian: 77, 766 orang.

Kalau tak silap dengar tadi, yang diperlukan tahun ini adalah seramai 300 orang sahaja utuk jawatan PTD ni. Memang pening kepala SPA nak pilih.

Setelah calon lulus ujian peperiksaan online, proses seterusnya adalah dipanggil untuk temuduga. Tahun ini masih dikaji samada akan diwujudkan PTD Assessment Centre (PAC). Dimaklumkan bahawa JPA sedang mengkaji untuk mengadakan PAC atau tidak.

Tiada bahan rujukan khusus untuk peperiksaan online 1 November ini dan soalan dibina berasaskan tahap kesukaran.

Sukatan Peperiksaan 

Seksyen A: Pengetahuan Am (Online)

Dalam seksyen ini, calon diuji pengetahuan berkenaan urusan perkastaman, pengurusan sumber ekonomi dan kewangan, perdagangan antarabangsa, pengurusan teknologi maklumat dan komunikasi, keselamatan negara, undang-undang, bidang sains, bidang sosial, bidang sukan, bidang agama dan lain-lain perkembangan dalam negara dan luar negara.

Masa : 40 minit
Soalan : 50 (aneka pilihan)

Seksyen B: Daya menyelesaikan Masalah (Online)

Seksyen ini mengukur daya menyelesaikan masalah calon dengan menggunakan item-item yang berkonsepkan perkara-perkara berikut:

(i) Kemahiran Logik
(ii) Kemahiran Menginterpretasi Data
(iii) Konsep Matematik dan Akaun

(i) Kemahiran Logik
Calon diuji dari aspek pengetahuan, kemahiran berfikir serta kemahiran mengaplikasi maklumat.

(ii) Kemahiran Menginterpretasi Data
Calon diuji dengan menggunakan pelbagai perangkaan dan data-data untuk dianalisis.

(iii) Konsep Matematik dan Akaun
Calon diuji dengan konsep Matematik dan Akaun, kemahiran numeric serta kuantitatif untuk mengukur kemahiran asas matematik, pemahaman konsep dan kebolehan berfikir secara kuantitatif.

Masa : 45 minit
Soalan : 40 (aneka pilihan)

Seksyen C: Ujian Psikometrik (Online)

Calon-calon dikehendaki menjawab item-item yang mengukur gagasan personaliti calon iaitu kepimpinan, kebolehan sosial, komunikasi, toleransi, kerjasama, kestabilan emosi, integriti, disiplin dan kejujuran.

Masa : 15 minit
Soalan : 36 (aneka pilihan)

*Seksyen D: Penulisan Esei Bahasa Melayu (8.15 pagi - 8.45 pagi)

*Seksyen E: Penulisan Esei Bahasa Inggeris (9.00 pagi - 9.30 pagi)

* Kedua - dua kertas ini perlu diduduki oleh calon yang berjaya dalam peperiksaan online sebelum menghadiri temuduga. ( Jawab peperiksaan bertulis dahulu sebelum temuduga).

* Dijalankan hari yang sama dengan hari temuduga.

* Dua soalan pilih satu sahaja.

Insyallah, saya akan menduduki Peperiksaan Online PTD M 41 pada 1 November 2014 ini. 

Ada rezeki, berjayalah nanti. Doakan saya ye...

Ujian dan Musibah yang di berikan kepada kita adalah sepadan dengan keupayaan dan kemampuan diri kita untuk menghadapinya. Allah s.w.t tidak akan sesekali menzalimi hambanya...
Sungguh, Allah akan memberi apa yang kita mampu tanggung dan apa yang terbaik untuk kita dan bukan apa yang kita mahukan...

Thursday, 23 October 2014

Syarat Masuk IPTA: Pandangan Peribadi

MUET: Penjelasan Perlu Dijalankan

Pada Pembentangan BAJET 2015 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri pada Jumaat lepas 10 Oktober 2014, dilontarkan cadangan untuk meningkatkan syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) serta syarat untuk pengijazahan.

Syaratnya ialah lulus Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) pada tahap-tahap tertentu berdasarkan kursus-kursus tertentu seperti dalam jadual di atas.

Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapannya itu turut menyarankan agar institusi pengajian tinggi swasta melaksanakan langkah yang sama. Katanya, pada masa ini, syarat kemasukan am ke IPTA memerlukan pemohon mencapai tahap minimum MUET iaitu Band 1.

MUET mula diperkenalkan sebagai syarat wajib masuk universiti pada tahun 2000.

Pada saya, secara dasarnya menyokong pelaksanaan cadangan ini. Cuma, terdapat beberapa “pro and cons” yang perlu diambil kira oleh pihak kementerian dalam melaksanakan cadangan ini.

Penjelasan tentang cadangan ini perlu diperhalusi oleh pihak berkaitan supaya rakyat faham tentang keperluan melaksanakan cadangan ini. Antara persoalan yang perlu dijelaskan adalah:

1. Adakah pelaksanaan cadangan ini hanya untuk program Diploma sahaja atau semua program sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (Phd)?.

2. Tidak semua yang masuk ke IPTA mengambil MUET. Ada yang masuk menggunakan keputusan SPM dan ada juga yang dari Matrikulasi. Bergantung pada bidang kursus yang dipilih.  Setahu saya, yang mengambil peperiksaan MUET adalah pelajar Tingkatan Enam sahaja. Adakah semua pelajar yang ingin memohon masuk ke IPTA akan diwajibkan mengambil peperiksaan MUET nanti?.

3. Untuk tujuan pengijazahan, adakah pelajar perlu mengambil peperiksaan MUET di Universiti atau boleh diambil di mana – mana pusat peperiksaan MUET? Dan adakah format peperiksaan itu sama dengan yang diamalkan sekarang atau akan ada perubahan format.

4. Bila perlu diambil peperiksaan MUET untuk tujuan pengijazahan? Adakah sekali dalam tempoh pengajian atau setiap semester sepanjang tempoh pengajian?

Antaranya adalah perlu juga diambil kira tentang kegiatan ko kurikulum yang disertai oleh pelajar semasa di sekolah dan pencapaian akademik pelajar yang memohon masuk ke IPTA. Negara akan rugi besar jika mereka yang mendapat keputusan akademik yang cemerlang, tetapi mendapat keputusan MUET sekadar cukup makan sahaja. Sebagai contohnya, seorang pelajar memperoleh 9A dan MUET sekadar band 2, tentunya tidak melayakkan dia memilih kursus dalam bidang Sains. Ini akan merugikan negara dalam jangka masa panjang.

Ada juga suatu kerisauan dalam kalangan ahli akademik tentang peluang kepada pelajar luar bandar yang tentunya mempunyai masalah dalam penguasaan Bahasa Inggeris yang mungkin akan menutup peluang mereka untuk menyambung pelajaran di peringkat yang lebih tinggi. Suatu mekanisma penyelesaian masalah ini perlu diperincikan oleh pihak yang berkepentingan dalam menyelesaikan masalah ini.

Memang para graduan semestinya menguasai Bahasa Inggeris dengan baik untuk mendepani cabaran pekerjaan semasa selain bahasa lain yang juga sama pentingnya. Tetapi, janganlah kerana ingin menguasai Bahasa Inggeris, bahasa ibunda kita terabai. Perlu ada keseimbangan antara penekanan kepada penguasaan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.

Semestinya cadangan yang baik ini perlu diperhalusi dengan lebih teliti dan cermat agar pelaksanaannya nanti tidak menjadi seperti bahan kajian yang akan dihentikan. Rundingan, seminar, wacana dengan pelbagai pihak untuk mendapatkan maklum balas sewajarnya diadakan bagi mendapatkan suatu cadangan yang produktif yang menguntungkan semua pihak nanti.

Monday, 20 October 2014

Jom Cakna pada Masyarakat


Entri kali ini merupakan suatu muhasabah yang ingin dikongsikan oleh saya melalui pengalaman peribadi. Semoga perkongsian kali ini boleh memberi sesuatu perkara yang berguna buat saya dan semua pembaca.

Dalam kehidupan bermasyarakat, jiran tetangga merupakan mereka yang tinggal berdekatan dengan kita. Mereka merupakan individu yang terdekat untuk kita meminta pertolongan dan bantuan bila ada sesuatu kemaslahatan atau sebagainya.

Sifir yang mudah untuk diikuti oleh kita adalah bila kita buat senang dengan orang lain, orang lain akan buat senang juga kepada kita. Dan begitulah sebaliknya berlaku.

Jika nak orang cakna pada kita, maka kita juga perlu cakna pada orang lain.

Saturday, 18 October 2014

Master on the Way

 Memang menjadi hasrat terpendam saya untuk menyambung semula pengajian di peringkat Master, setelah berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Pengurusan Rekod dahulu. Insyallah, jika panjang umur dan murah rezeki, cadangnya nak sambung belajar tahun hadapan.

Ada dua tiga orang kawan saya yang sekarang ini menyambung pengajian mereka di peringkat Master di UiTM Kampus Puncak Perdana secara Sepenuh Masa. Saya tak nak buat sepenuh masa disebabkan oleh beberapa faktor yang dimaklumkan setelah berbincang dengan beberapa orang yang berpengalaman.

Dicadangkan kepada saya buat Part Time Master sambil kerja. Memang nak bekerja sambil belajar. Dalam masa dapat ilmu baru bila sambung pengajian peringkat Master, pengalaman kerja pun ada (walau sedikit). Orang kata sambil kerja sambil belajar.

Perlu diakui bahawa tidak mudah untuk buat dua kerja yang bukan mudah dalam 2 waktu yang sama. Tapi, Insyallah, dengan azam dan pertolongan dari Allah s.w.t, segala-galanya tidak mustahil.

Kalau orang lain boleh buat, kenapa tidak kita?. Insyallah, tahun hadapan, saya akan meneliti Master apa yang nak disambung, sama ada dalam Bidang Pengurusan Rekod juga atau bidang lain. Sekarang ini, fokus kepada cari kerja dahulu dan cari kawan yang nak sambung belajar sekali.

Dalam masa kejar Ilmu Dunia, Ilmu Akhirat jangan dilupa…

Thursday, 16 October 2014

Burgerbyte, Tunjong, Kelantan.

Alhamdulillah, dapat makan burgerbyte di Tunjong, Kota Bharu, Kelantan sebelum hari raya Aidiladha yang lalu.
Kalau nak rasa, sila berkunjung sendiri nanti.



Wednesday, 15 October 2014

Kesian Orang Muda…


  
Assalamualaikum W.B.T

Apa khabar semua? Semoga berada dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya.

Hari ini saya ingin melontarkan pandangan peribadi tentang beberapa isu yang dihadapi oleh golongan belia atau fresh graduates  yang baru menamatkan pengajian di IPTA/IPTS. Untuk makluman, ini adalah pandangan peribadi penulis dan mungkin akan ada percanggahan pendapat dengan orang lain. Dialu alukan untuk mengemukakan pandangan tentang apa yang saya ulas di sini. Tak ada salah dan betul dalam penulisan ini.

Golongan muda adalah salah satu dari kelompok yang amat terbeban dengan pelbagai isu yang berlaku dalam negara kita mutakhir ini. Kalau nak dikira, memang banyak isu yang melibatkan golongan muda. Isu mendapatkan pekerjaan setelah tamat pengajian, bayaran balik pinjaman pelajaran, nak mendirikan rumah tangga, beli kereta dan rumah antara isu yang perlu diambil kira oleh kerajaan dan pihak – pihak berkepentingan dalam meminimumkan kesannya kepada golongan belia.

Saya akan mengemukakan pandangan peribadi saya dalam beberapa isu yang akan diulas nanti..

Isu mendapatkan pekerjaan

Bekerja setelah menamatkan pengajian merupakan impian dan harapan semua graduan dari IPTA dan IPTS serta para IbuBapa. Kalau boleh, lepas je grad, nak kerja. Tapi, tak ramai yang dapat rezeki cepat kerja lepas grad. Ada yang lambat dan ada yang dapat kerja cepat. Dan tak semua dapat kerja dalam bidang yang diidamkan atau dalam kata lain dapat kerja sesuai dengan kelayakan akademik masing – masing. Yang tu tak kisahlah asalkan dapat kerja walau dalam bidang lain.

Kerja swasta atau kerja kerajaan?

Soal kedua dalam mencari kerja ini adalah sama ada kerja Kerajan atau Swasta. Kata orang “kalau nak kaya, kerja lah di swasta dan kalau nak senang, kerjalah dengan kerajaan”. Kalau ditanya secara rambang kepada golongan belia “Kat mana nak kerja?, saya yakin dan pasti 90% akan menjawab nak kerja dengan kerajaan. Ini disebabkan oleh pelbagai keistimewaan dan kelebihan yang ditawarkan kepada mereka yang bekerja dengan kerajaan. Tapi, sekarang ni nak kerja kerajaan pun susah. Kalau dapat kerja tu dah syukur sangat walaupun sekadar kontrak atau sambilan.

Nak jugak bagi cadangan untuk mengurangkan umur persaraan pilihan bagi kakitangan awam dan swasta di Malaysia. Saya dah lama nak cadangkan agar umur persaraan di wajibkan kepada tempoh tertentu dan tidak diberi pilihan nak pencen umur berapa. Kalau boleh lah, ditetapkan umur persaraan sekadar 57 tahun sahaja dan bukan pilihan sehingga 60 tahun.

Memang ada hujah dan pendapat sendiri bila ada orang nak pencen umur 60 tahun. Dari segi kemahiran, ilmu dan pengalaman yang ada memang salah satu dari aset penting kepada sesebuah jabatan untuk terus memberikan khidmat cemerlang kepada jabatan dan menghasilkan pulangan yang baik kepada negeri dan negara. Tapi, cuba fikir sejenak. Bila ramai yang pencen umur 60 tahun, apa nasib orang lain? Bila masa kami nak masuk kerja nak ganti orang pencen?.

Beli kenderaan dan rumah?

Kalau dulu, dalam 10 – 15 tahun ke belakang, kalau kerja, boleh simpan duit untuk beli kereta dan rumah untuk masa hadapan. Tapi sekarang, dah tak dapat nak buat macam dulu. Rumah dan kenderaan (sama ada kereta atau motor) bagi saya merupakan suatu keperluan kepada mereka yang baru memulakan kerja khususnya kepada Fresh Graduates. Alhamdulillah sekarang dah ada kereta yang murah untuk dibeli oleh orang yang baru grad, sesuai dengan pendapatan.

Tapi rumah, macam mana?. Memang ada pelbagai skim perumahan yang diumumkan oleh kerajaan untuk mengatasi masalah perumahan dalam negara. PR1MA antaranya. Tapi, untuk belia macam mana? Tak kan nak menyewa sampai akhir hayat? Kami nak juga merasa rumah sendiri, tambahan pula untuk persiapan berkeluarga nanti.

Saya cadangkan dalam Bajet 2015 tahun hadapan, diwujudkan Perumahan untuk Belia dengan dibina perumahan khusus untuk golongan belia. Sekarang ini, perumahan dibina untuk semua, ada kemampuan boleh miliki rumah. Kalau lah boleh dibuat perumahan untuk belia dengan tempoh pembiayaan yang lebih lama dan jumlah bayaran yang tak terlalu tinggi, insyallah kami boleh memiliki kediaman sendiri suatu hari nanti.

Bayaran Balik Pinjaman

Bagi yang melanjutkan pengajian di peringkat IPTA/IPTS, saya kira sudah tentu akan meminjam dengan agensi pinjaman yang disediakan oleh pihak kerajaan. Sama ada pinjaman oleh PTPTN, MARA dan sebagainya yang dipilih oleh pelajar, memang menjadi kewajipan untuk membayar balik pinjaman yang dibuat.

Bukan hendak merungut atau apa, ini adalah perkongsian penulis semata – mata. Saya pun ada buat pinjaman dengan PTPTN. Perlu merancang kewangan yang diperoleh dalam usaha untuk membayar balik pinjaman.

Seperti yang dicadangkan oleh beberapa pihak agar bayaran balik pinjaman mengikut gaji yang diperoleh oleh graduan yang baru memulakan kerja. Amat baik untuk dikaji dan diteliti oleh pihak yang berkaitan dalam perkara ini.

Kos Perkahwinan Yang Tinggi?

Satu lagi isu yang membelenggu orang muda adalah kos perkahwinan yang terlalu tinggi mutakhir ini. Sehinggakan beberapa bulan yang lalu, ada penulisan tentang harga mas kahwin mengikut taraf pendidikan seseorang yang dikeluarkan oleh akhbar tempatan.


Pada saya, tidak perlulah diletakkan harga mas kahwin yang terlalu mahal sehinggakan seolah – olah perkahwinan dijadikan sebagai suatu perniagaan yang menyebabkan orang muda kena fikir dua tiga kali sebelum ingin masuk meminang. Kalau tak ada 10K dalam tangan, jangan mimpilah nak masuk meminang zaman ini.

Ini antara isu yang menjadi cabaran buat golongan muda sekarang ini.

*Ini adalah pandangan peribadi penulis. Sebarang perkongsian dan pendapat lain amat dihargai.*

Monday, 13 October 2014

Street Art , Machang 2014

Saya berkesempatan melawat Street Art Machang pada 3 Oktober 2014 yang lalu.

Bertempat di Belakang Zon Ria lama di Bandar Machang.

Ingin lihat sendiri, silalah berkunjung ke sana.
















Daulat Tuanku