Sunday, 4 September 2016

Rakyat Kelantan Gaji Rendah?


Pada 29 Ogos yang lalu, penulis tengok satu keratan akhbar yang dikongsi di laman instagram. Tajuk keratan akhbar tersebut adalah "Rakyat Kelantan berpendapatan paling rendah di Malaysia" seperti yang terdapat dalam gambar diatas. Rasa nak ulas pada entri kali ini.

Keratan akhbar ini memaparkan kajian Keadaan Isi Rumah ke-2 yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) pada tahun 2016 ini mendapati lebih 30% isi rumah di Kelantan berpendapatan kurang RM 2000 sebulan. Memang semua sedia maklum akan keadaan Kerajaan Negeri Kelantan dan juga rakyatnya. Tidak salah bagi saya untuk mengakui akan data-data kajian yang dijalankan tersebut.

Setahu saya, lebih kurang RM 500 juta ringgit sahaja Bajet Kerajaan Negeri Kelantan setiap tahun. Dengan kewangan sejumlah yang tersebut, mana mungkin dapat memenuhi keperluan rakyat kami yang berjumlah kurang lebih 1.5 juta orang. Kilang pun tak banyak di Kelantan ni. Kawasan Perindustrian di Pengkalan Chepa adalah kawasan perindustrian yang menempatkan kilang – kilang di sini. Pelabuhan pun kami masih tiada yang sangat penting untuk aktiviti ekonomi. Jaringan lebuh raya yang sempurna juga masih belum dikecapi sehingga kini. Alhamdulillah, sekarang ini sudah dijalankan pembinaan Lebuh raya di Kelantan.

Cumanya, bagi saya, kebanyakan kajian yang dilakukan adalah berdasarkan berapa banyak gaji atau wang yang diperoleh oleh seseorang bagi mengukur pendapatannya. Mungkin kaedah ini boleh diperhalusi lagi. Sebab, kalau gaji RM 5000.00 di luar Kelantan pun tak cukup berbanding RM 2000.00 di Kelantan. Tak ada guna kalau gaji banyak tapi tidak dapat bertahan untuk tempoh yang lama. Dengan kos sara hidup dibandar yang tinggi, gaji yang banyak pun tak dapat menampung kehidupan seharian penduduk bandar.

Aspek keberkatan juga perlu diambil kira dalam menguruskan pendapatan masyarakat. Tak ada guna dapat pendapatan yang banyak tapi tidak berkat. Kalau dapat banyak dan berkat, Alhamdulillah. Biar sikit, tapi berkat dan dapat menyara kehidupan masing – masing.

Aspek kesejahteraan dalam kehidupan juga perlu diambil kira juga dalam menilai keadaan isi rumah. Kalau dapat duit banyak, tapi hidup tidak sejahtera, rasanya tidak membawa apa – apa makna juga. Biarlah kesejahteraan hidup selari dengan gaji yang diperoleh.

Apa pun, kajian yang dilakukan ini perlulah diambil langkah – langkah yang perlu oleh pihak – pihak yang berkaitan bagi mengatasi masalah ini. Jika tidak, kajian ini hanya akan jadi sebuah kajian yang sia – sia sahaja.

Thursday, 1 September 2016

Minggu Mesra Mahasiswa @ Orientasi


Bila dah lama tak menulis ni, rasa kekok pula nak menulis. Biasa lah kot. Bila ada mood, baru boleh menulis di blog ni.

Untuk entry kali ini, penulis ingin mencoretkan tentang Minggu Suai Kenal di IPTA/IPTS seluruh negara yang kebanyakannya masih dalam proses menerima kehadiran penuntut baru. Apa pun namanya, program itu adalah untuk meraikan kedatangan pelajar baru ke kampus pengajian dan juga bagi memberi taklimat tentang perjalanan pengajian, peraturan di tempat pengajian dan tempat tinggal pelajar serta pelbagai maklumat lagi.

Teringat penulis akan kenangan ketika mula mendaftar masuk sebagai pelajar di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Perdana pada 2010 yang lalu. Saya tak ada kawan yang masuk sekali masa tu. Memang lone ranger lah katakan. Seingat saya, masa masuk ke Kolej Kediaman Puncak Perdana tu, saya berkenalan dengan kawan dari Kedah dan negeri lain. Biasalah, sebab baru mula belajar.

Macam biasalah, bila masuk ke IPTA/IPTS, bila hari pendaftaran, ibu bapa antara yang sibuk nak hantar anak – anak masuk ke tempat pengajian. Dengan beg besar, bantal, fail – fail, baldi, teddy bear dan pelbagai keperluan lain memang antara perkara yang biasa dilihat bila nak masuk IPTA/IPTS. Sekarang ni rasanya tak ada dah yang bawa baldi bila nak masuk. Sebab semuanya ada dijual di kolej kediaman masing – masing. Seingat saya, dulu saya memang bawa baldi ke kolej bila nak daftar masuk. Beli kat kampung sebab harganya tak mahal sangat katanya.

Semua kenangan itu akan tersimpan kukuh dalam memori penulis.

Buat adik –adik yang baru nak masuk ke tempat pengajian masing – masing, nak pesan supaya aktifkan diri dalam kegiatan kokurikulum di kolej/ universiti. Selain tumpukan perhatian kepada pengajian masing – masing. Tak payah nak cinta monyet sangatlah. Takut tak ke mana jadinya nanti.

Jangan pula lupa untuk ke masjid atau surau nanti. Jangan hanya tahu belajar sahaja. Akhirat pun kena cari juga.

Sekian.

Selamat Datang Mahasiswa/i Baharu!

Kutipan Derma