Nafsu dan Vaksinnya...
Kenali Nafsu untuk Kendali Diri
Sebahagian
ulama tasawuf membahagikan peringkat-peringkat nafsu pada tahap yang berikut:
- Nafsu Ammarah; nafsu yang sangat mengajak kejahatan. Merupakan nafsu yang berada pada tahap paling jahat dan hina. Orang yang mempunyai nafsu pada tahap ammarah seronok dan sangat berbangga melakukan maksiat, serta berusaha mengajak orang lain berbuat maksiat bersama-samanya.
- Nafsu Lawwamah; bermaksud nafsu yang mencela. Nafsu pada tahap ini merupakan nafsu yang terbuai dengan kenikmatan dan maksiat yang dilakukan. Namun begitu orang yang melakukan maksiat akan segera insaf setelah berbuat dosa. Hatinya amat mudah tergoda dengan maksiat.
- Nafsu Mulhamah; bermaksud nafsu yang telah mula jinak. Orang yang nafsunya berada pada tahap ini cenderung mendapat ilham untuk melakukan kebaikan. Mereka sering berusaha memperbaiki diri dan menutup peluang untuk terjebak dalam kancah maksiat. Namun awas, nafsunya masih belum stabil.
- Nafsu Mutmainnah; nafsu yang terhasil setelah seseorang berjaya mengawal dan mendidik nafsunya dengan cara mujahadatunnafs iaitu melawan nafsu dengan konsisten sehingga seronok melakukan ketaatan kepada Allah. Hatinya sudah tenang kerana nafsu telah berjaya dijinakkan. Nafsu ini milik orang orang soleh yang dapat menewaskan musuh zahir iaitu orang-orang kafir dan musuh batin iaitu nafsu dan syaitan.
Vaksin
Virus Nafsu
“Setiap
penyakit ada ubatnya kecuali mati”. Hal ini samalah juga dengan penyakit yang
dihidapi oleh manusia masa kini. Terdapat banyak ubat yang boleh digunakan
untuk mengubati sesuatu penyakit. Penyakit nafsu juga ada ubatnya. Berikut
adalah sebahagian tips untuk mengawal hawa nafsu dan menjadi vaksin kepada diri
iaitu:
- Belajar mengenai sifat nafsu dan angkaranya.
- Menjaga solat lima waktu kerana solat yang dikerjakan dengan khusyuk dan tawaduk akan menjadi benteng daripada mendekati perkara-perkara yang mungkar dan keji.
- Sentiasa meningkatkan tahap pendidikan termasuk ilmu agama agar menjadi suluhan kepada hati untuk mengenali dan membezakan yang baik dan keji sehingga dapat memelihara diri di dunia dan akhirat.
- Rajin berpuasa kerana puasa akan melemahkan hawa nafsu yang liar.
- Berkahwin adalah antara cara menjinakkan nafsu yang begitu liar. Nafsu seks dapat dihalakan ke arah yang diredhai Allah dan melahirkan ketenangan jiwa.
- Berzikir tidak kira di mana jua kerana zikir memberi ketenangan jiwa dan fikiran dan penawar hati untuk jiwa yang resah gelisah.
- Belajar al-Quran dan berusaha melazimkan diri membaca al-Quran setiap hari walaupun sedikit bagi mendapat keberkatan.
- Memilih kawan dan sahabat yang baik kerana kita adalah sahabat kita.
- Berdoa memohon bantuan Allah agar diberi kekuatan mengawal dan menguasai nafsu mengikut jalan yang diredhai Allah.
Sumber: Hafizah Abdul Shukor. (2011). Sinar rohanis: Pembimbing ummah. Waspada
Virus Nafsu, 8, 12 - 14.
Ulasan
Catat Ulasan
Assalamualaikum W.B.T
Cer Komen Sikit...#JomSimpanEMAS