Syarat Masuk IPTA: Pandangan Peribadi

MUET: Penjelasan Perlu Dijalankan

Pada Pembentangan BAJET 2015 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri pada Jumaat lepas 10 Oktober 2014, dilontarkan cadangan untuk meningkatkan syarat kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) serta syarat untuk pengijazahan.

Syaratnya ialah lulus Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) pada tahap-tahap tertentu berdasarkan kursus-kursus tertentu seperti dalam jadual di atas.

Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapannya itu turut menyarankan agar institusi pengajian tinggi swasta melaksanakan langkah yang sama. Katanya, pada masa ini, syarat kemasukan am ke IPTA memerlukan pemohon mencapai tahap minimum MUET iaitu Band 1.

MUET mula diperkenalkan sebagai syarat wajib masuk universiti pada tahun 2000.

Pada saya, secara dasarnya menyokong pelaksanaan cadangan ini. Cuma, terdapat beberapa “pro and cons” yang perlu diambil kira oleh pihak kementerian dalam melaksanakan cadangan ini.

Penjelasan tentang cadangan ini perlu diperhalusi oleh pihak berkaitan supaya rakyat faham tentang keperluan melaksanakan cadangan ini. Antara persoalan yang perlu dijelaskan adalah:

1. Adakah pelaksanaan cadangan ini hanya untuk program Diploma sahaja atau semua program sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (Phd)?.

2. Tidak semua yang masuk ke IPTA mengambil MUET. Ada yang masuk menggunakan keputusan SPM dan ada juga yang dari Matrikulasi. Bergantung pada bidang kursus yang dipilih.  Setahu saya, yang mengambil peperiksaan MUET adalah pelajar Tingkatan Enam sahaja. Adakah semua pelajar yang ingin memohon masuk ke IPTA akan diwajibkan mengambil peperiksaan MUET nanti?.

3. Untuk tujuan pengijazahan, adakah pelajar perlu mengambil peperiksaan MUET di Universiti atau boleh diambil di mana – mana pusat peperiksaan MUET? Dan adakah format peperiksaan itu sama dengan yang diamalkan sekarang atau akan ada perubahan format.

4. Bila perlu diambil peperiksaan MUET untuk tujuan pengijazahan? Adakah sekali dalam tempoh pengajian atau setiap semester sepanjang tempoh pengajian?

Antaranya adalah perlu juga diambil kira tentang kegiatan ko kurikulum yang disertai oleh pelajar semasa di sekolah dan pencapaian akademik pelajar yang memohon masuk ke IPTA. Negara akan rugi besar jika mereka yang mendapat keputusan akademik yang cemerlang, tetapi mendapat keputusan MUET sekadar cukup makan sahaja. Sebagai contohnya, seorang pelajar memperoleh 9A dan MUET sekadar band 2, tentunya tidak melayakkan dia memilih kursus dalam bidang Sains. Ini akan merugikan negara dalam jangka masa panjang.

Ada juga suatu kerisauan dalam kalangan ahli akademik tentang peluang kepada pelajar luar bandar yang tentunya mempunyai masalah dalam penguasaan Bahasa Inggeris yang mungkin akan menutup peluang mereka untuk menyambung pelajaran di peringkat yang lebih tinggi. Suatu mekanisma penyelesaian masalah ini perlu diperincikan oleh pihak yang berkepentingan dalam menyelesaikan masalah ini.

Memang para graduan semestinya menguasai Bahasa Inggeris dengan baik untuk mendepani cabaran pekerjaan semasa selain bahasa lain yang juga sama pentingnya. Tetapi, janganlah kerana ingin menguasai Bahasa Inggeris, bahasa ibunda kita terabai. Perlu ada keseimbangan antara penekanan kepada penguasaan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.

Semestinya cadangan yang baik ini perlu diperhalusi dengan lebih teliti dan cermat agar pelaksanaannya nanti tidak menjadi seperti bahan kajian yang akan dihentikan. Rundingan, seminar, wacana dengan pelbagai pihak untuk mendapatkan maklum balas sewajarnya diadakan bagi mendapatkan suatu cadangan yang produktif yang menguntungkan semua pihak nanti.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Temuduga JPK: Suatu Catatan..

MPP: Tugas dan Harapan

Secebis Pengalaman, Secoret Kenangan