Rasuah: Sebuah Catatan...

Rasuah mempunyai pelbagai definisi dan panggilan yang boleh diberikan dan digunakan oleh pelbagai pihak. Ada yang panggil Suapan, Duit Kopi dan sebagainya. Dari segi definisi pula, kalimah Rasuah berbeza maksudnya antara satu pihak dengan pihak yang lain. Namun, itu bukan menjadi masalah utama yang perlu dibahaskan. Apa yang paling utama adalah "apa sebab rasuah berlaku dan apa yang perlu dibuat untuk mengurangkan dan mengatasi masalah itu".

Secara umumnya, pada pandangan saya Rasuah bermaksud sesuatu perkara atau pemberian yang dilakukan atau diberikan untuk memperoleh sesuatu keuntungan daripada pemberian/ hadiah/ ganjaran dan sebagainya yang dibuat samada oleh orang perseorangan atau organisasi. Manakala menurut Oxford Advance Learners Dictionary, Corruption mean dishonest or illegal behaviour, especially of people in authority. Ini adalah tafsiran saya sendiri, mungkin ada yang bersetuju dan ada yang tidak bersetuju. Bergantung pada diri masing - masing.

Tentang sebab - sebab berlakunya gejala Rasuah, saya fikir semua sedia maklum tentang penyebab berlakunya gejala ini. Antaranya adalah seperti:

1. Sifat dan Sikap Tamak Haloba.
2. Jalan Pintas untuk hidup mewah.
3. Tiada amalan nilai - nilai murni.
4. Penurunan kuasa berleluasa.
5. Penyalahgunaan kuasa.

Saya hanya ingin fokuskan ulasan dan pandangan saya hanya pada sikap individu yang sesetengahnya bersikap tamak haloba dalam mencari kekayaan. Kalau ada sikap dan sifat ini dalam mana - mana individu atau organisasi, sebanyak mana pun gaji yang diberi, pasti nak lagi. Kalau dah ada segunung emas, pasti nak lagi segunung. 

Setiap dari kita terutama sekali para penjawat awam mestilah menanamkan sikap dan sifat "berasa cukup dengan sedikit" agar dapat dihindari dari terjebak dengan rasuah ini. Terkadang terfikir jugak yang terima rasuah ini pun bukannya dari golongan "bilis - bilis", tapi ada juga "jerung - jerung" yang boleh dikatakan bergaji besar pun terlibat sama. Mungkin bila rasa tak cukup walaupun banyak gaji yang diperoleh menyebabkan masalah ini berlaku.

Parti Politik banyak Rasuah?

Semua pasti sedia maklum bahawa dalam Laporan Tentang Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2014 yang diumumkan oleh Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar menyatakan bahawa Parti-parti politik di negara ini dianggap sebagai institusi yang paling korup, diikuti oleh polis dan penjawat awam.

Laporan ini berdasarkan tinjauan Barometer Rasuah Malaysia 2014 yang dilakukan badan itu ke atas 2,000 responden dari pelbagai lapisan masyarakat.

"Ramai yang memilih parti politik, menunjukkan mereka tidak percaya kepada institusi berkenaan. Malah, ini kali pertama parti politik berada di kedudukan teratas berbanding tahun lalu, (iaitu) di tangga kedua.

"Secara peribadi bagi saya, korup dalam parti politik ini kebiasaannya melibatkan pemberian kontrak, perniagaan, lesen ali baba dan seumpamanya. Jadi, sebagai ahli politik, sepatutnya mereka tunjukkan contoh yang baik,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan keputusan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2014.

Seharusnya, parti - parti politik di Malaysia (Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) perlu memperbaiki "prestasi parti masing - masing dalam soal rasuah" agar tidak ditolak oleh rakyat dalam PRU 14 nanti. Sebab apa? Generasi Muda masa kini lebih melihat kepada isu - isu nasional yang menjadi faktor yang akan mendorong mereka memberikan undi kepada parti yang dirasakan boleh mengurus tadbir negara ini dengan lebih baik.

Senang cerita, parti yang banyak rasuah tidak akan diundi dalam PRU 14 nanti. Generasi Y yang akses kepada media sosial seperti Facebook, Blog, Twitter dam pelbagai aplikasi media baru pastinya mempunyai banyak maklumat yang boleh dijadikan asas dalam memberikan sokongan dan juga penolakan kepada parti - parti yang bertanding dalam PRU 14 nanti.

Apa nak buat? 

Kata orang, kalau nak cari kesalahan orang lain, memang senang dan mudah. Tapi, apa yang boleh kita cadangkan untuk mengatasi masalah ini?. Itu yang menjadi persoalannya.

Saya ada beberapa pandangan dan cadangan yang boleh dibuat dalam usaha membasmi musuh negara ini. Semoga berguna bagi mereka yang ingin melaksanakannya.

1. Tukar tagline Rasuah Suatu Jenayah kepada Rasuah Suatu Dosa Besar. Pemberi dan Penerima Rasuah Masuk Neraka. Sudah sampai masa untuk pihak berkaitan menggunakan pendekatan agama dalam mengatasi masalah ini dari terus merebak.

2. Kempen kesedaran, ceramah, iklan, seminar tentang rasuah perlu diteruskan dan semoleknya dimulakan dari pelajar sekolah rendah hinggalah kepada peringkat tertinggi dalam negara. Cara dan pendekatan yang ingin dilaksanakan itu mestilah mengikut keupayaan pendengar. Orang kata, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Diharapkan dengan pendedahan tentang rasuah dari awal usia boleh mengatasi masalah ini.

3. Perisytiharan harta bagi pegawai - pegawai kanan kerajaan dan parti - parti politik mesti dibuat dalam usaha mengekang masalah rasuah dari berlaku. Mungkin ada yang dah buat, tetapi perkara ini perlu didedahkan kepada umum melalui media massa agar semua dapat tahu tentang kemewahan dan aset yang dimiliki oleh para pegawai kanan kerajaan atau ahli politik.

4. Pelaksanaan tender terbuka dalam pemberian kontrak kerajaan samada diperingkat Kerajaan Tempatan, Kerajaan Negeri atau Kerajaan Pusat boleh mengurangkan amalan rasuah ini dari terus berlaku. Selain kerajaan dapat menjimatkan wang pembayar cukai dari membazir.

5. Akta khusus rasuah untuk mendakwa pesalah rasuah mungkin boleh difikirkan oleh pihak kerajaan dalam mengatasi masalah ini. Suatu akta atau pindaan terhadap akta sedia ada yang memberi kuasa kepada SPRM untuk mendakwa sendiri pesalah rasuah di Mahkamah Rasuah perlu diwujudkan bagi mengurangkan gejala rasuah dari berlaku.

6. Mewajibkan Ikrar Integriti Koprat kepada semua agensi kerajaan samada Kerajaan Tempatan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat boleh membantu mengurangkan masalah ini. Setahu saya, ikrar ini ditandatangani secara sukarela. Mungkin boleh diwajibkan suatu hari nanti. Kalau tak buat salah, tak perlu takut nak tandatangan ikrar ini.

7. Hukuman sebatan terhadap pelaku jenayah rasuah boleh diperkenalkan agar menggerunkan mereka yang ingin melakukan jenayah rasuah.

Sememangnya, pihak kerajaan melalui SPRM telah mengambil pelbagai langkah dalam usaha mengatasi gejala rasuah ini. Usaha yang dijalankan amatlah dipuji dan sewajarnya dipertingkatkan lagi bagi memastikan gejala ini dapat dibanteras sehingga ke akar umbi.

Kerjasama semua pihak amat penting dalam usaha untuk membanteras gejala rasuah dari merosakkan negara kita.

Bersama hapuskan RASUAH!!!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Temuduga JPK: Suatu Catatan..

MPP: Tugas dan Harapan

Secebis Pengalaman, Secoret Kenangan