Seputar Krisis MB Selangor: Suatu Pandangan Peribadi


Assalamualaikum W.B.T

Alhamdulillah, kita masih lagi dikurniakan kesihatan oleh Allah s.w.t untuk meneruskan kehidupan dan amalan sebelum menuju kematian.

Entri kali ini adalah PANDANGAN PERIBADI saya tentang isu MB di Selangor ini. Tiada kaitan dengan mana – mana pihak. Mungkin ada yang bersetuju dan sebaliknya dengan pandangan yang saya utarakan dalam entri kali ini. Tak ada masalah sebab setiap orang ada pandangan dan hujah masing – masing tentang sesuatu isu.

Saya teringat akan kata – kata seseorang yang lebih berusia dari saya sebelum PRU 13 yang lalu. Katanya “apa ko tahu tentang politik?”. Seolah olah tidak membenarkan saya bercakap soal politik. Memang benar, orang muda seperti saya tidak mempunyai pengalaman dan ilmu tentang dunia politik ni berbanding dengan orang yang berusia yang lebih makan garam dulu. Kaya dengan pengalaman dan pengetahuan dalam pelbagai perkara termasuk soal politik terutamanya bagi mereka yang terlibat secara langsung dalam bidang ini.

Tapi, adakah kami tidak boleh berbicara soal politik ni? Atas sebab apa?. Kalau sebab kami orang muda yang tiada pengalaman, rasanya tak sesuai alasan itu digunakan untuk menghalang golongan muda berbicara soal politik. Golongan muda pada pandangan saya lebih terdedah dengan pelbagai maklumat yang terdapat dalam media sosial dan media elektronik. Bagi anak muda yang rajin membaca dan meneroka alam maya, tentunya mereka akan memperoleh maklumat tentang sesuatu isu terkini. Tinggal lagi perlu disahkan sama ada maklumat yang disampaikan atau yang disebarkan itu benar – benar sahih dan tepat tentang sesuatu isu yang terjadi.

Pada saya juga, tak salah pelajar di IPTA dan IPTS berbicara soal politik dan kenegaraan, aktif dalam parti politik yang didokong asalkan tidak mengganggu pelajaran dan tidak membawa fahaman politik dalam kampus secara melampau. Tiba masa untuk pelajar belajar politik secara “teori dan amali” dalam mempersiapkan mereka menjadi pemimpin pelapis masa akan datang.

Isu MB Selangor: Suatu pandangan

Isu pertukaran MB Selangor, YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang dipecat dari PKR dengan dicadangkan Presiden PKR, Dato’ Seri Dr Wan Azizah bt Wan Ismail telah heboh dalam pelbagai media massa sejak beberapa bulan dan minggu yang lalu sehingga kini. Saya tidak berhasrat untuk mengulas secara terperinci tentang kemelut ini sebab sudah banyak media massa yang telah melaporkan tentang perkara ini hampir setiap hari.

Ada pihak yang bersetuju dengan pertukaran ini dan ada pihak yang tidak bersetuju. Mereka yang bersetuju pastinya mempunyai sebab dan alasan kenapa perkara itu ingin dilaksanakan dan sebaliknya bagi mereka yang menolak sudah tentu ada hujah dan penjelasan kenapa mereka menolak pertukaran MB Selangor. Dalam hal ini, yang nyata PKR dan DAP menyokong agar Tan Sri Khalid ditukarkan dengan Dr Wan Azizah sebagai MB Selangor manakala PAS sudah menyatakan pendirian parti tersebut melalui Mesyuarat AJK PAS Pusat semalam yang saya pasti semua maklum tentang keputusannya.

Saya ada mendapatkan pandangan beberapa orang rakan tentang isu ini. Soalan reverse psikologi ditanyakan kepada mereka. Soalannya “apa tindakan yang akan dilakukan jika mereka sebagai Tan Sri Abdul Khalid bin Ibrahim?”. Ada dua jawapan yang saya dapat dalam “temu bual rawak” yang saya jalankan.

1. Ada yang menjawab bahawa cara yang terbaik untuk menghentikan isu ini adalah dengan MELETAK JAWATAN sebagai MB bagi mengelakkan isu ini berlarutan. Ini kata mereka sebab jawatan itu dipilih oleh parti dan perlu akur dengan arahan parti yang mencalonkan mereka sebagai Wakil Rakyat dan MB.

2. Ada juga yang bertegas akan KEKAL sebagai MB dan tidak akan meletak jawatan. Alasan yang diberi adalah tiada kesalahan atau kes rasuah yang disabitkan ke atas mereka sebagai MB. Buktikan jika ada kes rasuah atau penyalahgunaan kuasa dahulu. Ada juga akan mengambil tindakan mahkamah dan memecat mereka yang tidak sehaluan dengan MB. Jawapan ini sama dengan apa yang Tan Sri Khalid lakukan sekarang.

Apa perlu dibuat sekarang?

Taat dan ikut keputusan jemaah lebih baik

Seperti yang saya katakan diawal tulisan ini bahawa saya bukanlah orang yang mempunyai kelayakan untuk bercakap soal politik ini. Bukan juga orang alim yang boleh memberikan pandangan dalam hal agama.

Tetapi, berdasarkan kepada pembacaan, penelitian serta sedikit pengalaman saya, memang perlu dan wajib untuk taat pemimpin dan keputusan jemaah. Kalau tak nak ikut, baik jangan jadi pemimpin dan bersama jemaah. Keputusan jemaah atau keputusan secara kolektif berkumpulan itu lebih baik walaupun dirasakan sebaliknya.

Beri peluang penjelasan

Penjelasan tentang sesuatu isu yang dibangkitkan terhadap Tan Sri Khalid sepatutnya diberi peluang kepadanya untuk menjawab dan menjelaskan secara terperinci terhadap dakwaan yang dinyatakan terhadapnya. Pada saya, tidak elok dipecat tanpa diberi peluang untuk menjelaskan dan menjawab dakwaan yang dibangkitkan.

Beri peluang menjawab dan jika didapati bersalah, tindakan lanjut boleh diambil.

Tidak wajar dibelakangkan Sultan

Setahu saya, Sultan Selangor menolak permohonan menghadap oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada kali pertama. Dan surat kedua dihantar dengan ditandatangan sendiri oleh Dr Wan Azizah untuk menghadap Baginda. Penolakan permohonan menghadap itu mempunyai maksud yang hanya Tuanku Sultan sahaja yang tahu.

Seeloknya, pandangan Tuanku perlu diambil kira dalam hal ini. Disebabkan oleh baginda merupakan Ketua Negeri Selangor. Perkenan baginda amat penting dalam pelantikan MB selain persetujuan semua pihak dalam PR. Seeloknya, dicari calon lain yang “mesra Istana” untuk menggantikan calon MB sedia ada.

Perempuan boleh jadi MB?

Secara peribadi, memang saya inginkan LELAKI yang menjawat jawatan MB. Tapi tak ada salahnya perempuan jadi MB. Kalau perempuan boleh jadi wakil rakyat dan boleh jadi EXCO, tak ada masalahnya kalau dipilih jadi MB.

Saya pernah bekerja dengan orang perempuan sebagai bos saya suatu ketika dahulu. Walaupun ada sedikit “masalah”, tapi boleh diuruskan. Perlu diambil kira sama ada Undang – Undang Tubuh Kerajaan Selangor membolehkan perempuan menjadi MB. Kalau boleh, diteruskan jika mendapat persetujuan rakan PR dan perkenan Sultan.

“Mengalah lebih baik”

Ada perkara yang perlu kita “mengalah” dan ada perkara yang kita perlu bertegas. Sama ada mahu “mengalah atau bertegas”, itu juga terpulang pada diri sendiri. Orang lain hanya boleh cadangkan, tetapi yang membuat keputusan adalah diri sendiri.

Pendapat saya secara peribadi adalah eloklah MB Selangor berundur (kalau mahu) dari jawatan MB bagi menyelamatkan negeri, parti dan PR.

Pilihan sekarang ada pada tangan YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Tuanku Sultan Selangor. Ada "cara mudah" dan "cara susah" yang boleh digunakan oleh Tan Sri Khalid untuk menyelesaikan isu ini dari berlarutan.

Hanya "tuan punya badan" yang boleh mengakhiri kemelut ini dari berlanjutan.

Kepada Allah S.W.T jua kita berserah segala urusan agar dipermudahkan.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Temuduga JPK: Suatu Catatan..

MPP: Tugas dan Harapan

Secebis Pengalaman, Secoret Kenangan