Surat Terbuka kepada PMH
Assalamualaikum
dan Salam Sejahtera buat semua penggerak dan keluarga saya sekalian. Semoga
masih berada dalam keadaan sihat dan sejahtera hendaknya. Surat Terbuka ini saya tujukan kepada Majlis Tertinggi, Exco
PMH dan Penggerak PMH sekalian.
Mukadimah
Surat
ini adalah lanjutan penjelasan secara bertulis cadangan yang saya kemukakan
pada Mesyuarat Perdana PMH yang telah diadakan pada yang lalu. Oleh sebab masa
yang mesyuarat yang agak lewat habis dan penjelasan lanjut tidak dapat saya
bentangkan, saya mengambil keputusan untuk memberi penjelasan secara bertulis
tentang cadangan yang telah saya kemukakan dahulu.
Untuk
makluman semua, surat ini adalah cadangan daripada diri saya sendiri
berdasarkan kepada pengalaman dan penglibatan selama lebih kurang 1 tahun
setengah dalam PMH dan juga melalui pandangan saya sendiri. Ini adalah sekadar
pandangan peribadi saya sahaja. Saya berharap agar segala apa yang
dicoretkan di sini diambil serius dan dikaji secara mendalam apa yang saya
tuliskan.
Saya
tidak mengharapkan semua cadangan saya diambil kira. Kajilah dengan teliti dan
apa yang baik diambillah dan apa yang tidak baik ditinggalkan. Sebelum saya
meneruskan penulisan ini, terlebih dahulu saya ingin memohon sejuta kemaafan
andai dalam penulisan ini ada kalimah – kalimah yang tak sedap dibaca atau
menyentuh peribadi. Mohon maaf atas segala-galanya.
Antara
cadangan yang ingin dicadangkan ialah:
Semakan
Semula Skop Tugasan Biro Program
Semakan
dan penerangan kepada skop tugasan biro – biro dalam melaksanakan sesuatu
program amatlah penting dalam memastikan sesebuah program berjalan dengan
lancar tanpa ada kecelaruan tugasan oleh ahli – ahli yang terlibat. Hal ini
kerana saya melihat skop tugasan dalam setiap biro amatlah sedikit dan mungkin
ada antara penggerak PMH yang tidak memahami skop tugasan yang diamanahkan
kepada mereka secara menyeluruh dan mungkin akan berlaku pertindihan kerja
antara mereka.
Oleh
yang demikian, saya mengharapkan agar semakan semula dan penjelasan tentang skop
tugasan biro bagi program ini dapat dijelaskan kepada semua penggerak agar
mereka faham tentang skop tugasan masing – masing.
Blue
Print Ciri – Ciri Penggerak
Ini
antara yang saya beri penekanan dalam cadangan saya kepada pihak Majlis Tertinggi
suatu ketika dahulu. Ciri – ciri yang diperlukan untuk menjadi penggerak PMH
mestilah dinyatakan secara bertulis dengan jelas dan terang bagi memudahkan
pencarian penggerak PMH bagi setiap biro. Hal ini kerana tidak semua pelajar
UiTM boleh menjadi penggerak PMH.
Dan
saya mencadangkan blue print ini diwujudkan agar kita tidak bergantung semata –
mata kepada yang mengikuti Bulatan Gembira sahaja yang boleh diambil sebagai
penggerak. Bagaimana pula dengan yang tidak mengikuti BG? Adakah mereka tidak
mempunyai peluang untuk menjadi sebahagian daripada keluarga PMH? Aad perkara
lain yang perlu dan mesti diambil kira dalam pemilihan sebagai penggerak PMH.
Untuk mewujudkan blue print ini, hendaklah diambil kira pandangan dari setiap
ketua biro dalam PMH. Mungkin ada ciri – ciri khas yang diperlukan untuk
menjadi penggerak bagi biro – biro tertentu.
Sebagai contoh, untuk menjadi ahli Biro Tarbiyah, mungkin
memerlukan ahlinya menghafaz beberapa surah atau hadis yang masyhur.
Ingin
ditegaskan sekali lagi kepentingan blue print ini sebagai salah satu kayu
pengukur dalam melantik penggerak PMH.
Penyata
Kewangan PMH
Kewangan
Persatuan atau sesebuah organisasi merupakan suatu perkara yang amat penting
dan diambil kira dalam Mesyuarat Agung sesebuah persatuan atau organisasi.
Dengan pengurusan kewangan yang baik, sesebuah persatuan akan dapat meneruskan
perjalanan persatuan dengan efisien dan efektif. Tanpa pengurusan kewangan yang
baik, perjalanan sesebuah persatuan akan menjadi kurang lancar dan berkesan.
Sama
lah juga dengan PMH. Kita mempunyai sumber kewangan daripada sumbangan
penggerak dan juga daripada jualan yang dilakukan oleh Biro Usahawan yang
berperanan besar dalam membantu persatuan dalam mengumpulkan dana bagi
membolehkan persatuan menjalankan program dan juga sebagai backup kepada
program yang mungkin kekurangan pembiayaan. Saya tidak menafikan sumbangan biro
lain dalam melaksanakan program PMH.
Saya ingin mencadangkan agar Bendahari PMH membentangkan segala perkara yang berkaitan dengan perbelanjaan PMH kepada ahli penggerak sekalian. Hal ini penting bagi mewujudkan ketulusan dan ketelusan dalam perbelanjaan kewangan PMH. Bukan tidak mempercayai Bendahari, sekadar ingin tahu sahaja.
Secara kesimpulannya, kesemua biro
memainkan peranan masing – masing dalam melaksanakan program persatuan dan juga
dalam membantu Biro Usahawan dalam mencari dana bagi kegunaan persatuan.
Penglibatan
Penggerak Baru
Penglibatan
penggerak baru dalam persatuan ini amatlah penting sekali dalam usaha untuk
melahirkan pemimpin pelapis untuk meneruskan legasi kepimpinan dalam PMH suatu
hari nanti. Hal ini penting dalam usaha untuk mencungkil bakat yang terpendam
dalam diri penggerak baru khusunya dan penggerak lama amnya. Ini kerana saya
melihat melalui pandangan mata saya, penglibatan penggerak baru dalam mesyuarat
bersama amatlah kurang sedikit jika dibandingkan dengan penggerak lama dari
segi memberi idea, cadangan dan juga pandangan yang membina dalam persatuan. Mereka
mempunyai idea yang baik dalam penulisan, cuma mungkin takut dan malu untuk
menyuarakan pendapat.
Saya
tidak menafikan peranan mereka dalam mengendalikan program persatuan. Kerjasama
dan juga peranan yang dimainkan dalam program amatlah memuaskan hati saya
walaupun mereka masih baru, tetapi keinginan untuk belajar dan bertanya kepada
yang lama memang berlaku. Selain cepat belajar, mereka juga boleh menjadi ahli
terbaik dalam kumpulan biro untuk sesutu program.
Cuma
yang saya masih kurang berpuasa hati adalah dari segi kepimpinan dan juga
komunikasi yang menjadi sedikit permasalahan. Mungkin ramai yang tidak
menyedari perkara ini. Saya tekankan perkara ini sebab kedua – dua ciri ini
amat penting dalam menjadi seorang ahli jawatankuasa yang baik. Saya kurang
nampak kedua – dua ciri ini dalam kalangan ahli baru. Mungkin mereka masih baru
dan masih belajar.
Cadangan
saya ialah supaya pihak Majlis Tertinggi menggalakkan mereka untuk memberikan
pendapat dan cadangan dalam setiap mesyuarat yang diadakan bersama. Setiap cadangan
mestilah diterima dan jangan ditolak mentah – mentah oleh pihak MT. Tidak semua
cadangan mesti dilaksanakan. Mesyuaratlah dan putuskan yang terbaik.
Selain
itu, saya juga ingin mencadangkan kepada pihak MT supaya memberikan mereka satu
program untuk dikendalikan oleh penggerak baru sahaja dengan pemantauan daripada
MT atau penggerak lama. Ini penting bagi mereka belajar selok belok pengurusan
sesuatu program bermula dari pembentukan ahli jawatankuasa program, penyediaan
kertas kerja dan juga borang c, pengisian pelbagai borang pinjaman daripada
kolej, mesyuarat program, postmortem dan juga pelbagai perkara yang mereka
boleh belajar secara langsung apabila menjalankan program. Kita telah ajar
mereka secara teori dan inilah masa yang paling baik untuk mereka
mengaplikasikan teori tersebut dalam praktikal. Lantiklah seorang penggerak
yang berpengalaman untuk dijadikan sebagai penasihat bayangan untuk membantu
mereka dalam mengendalikan sesuatu program. Dengan ini, kita mengharapkan agar
mereka dapat belajar dan terus aplikasikan apa yang telah diajar.
Mesyuarat
Mesyuarat
atau Syura merupakan satu yang penting dalam mana – mana persatuan baik
persatuan Islam atau persatuan lain. Hal ini kerana mesyuarat yang dijalankan
itu mestilah menepati objektif dan tujuan ia diadakan. Sepanjang pengalaman
saya dalam menerajui JPK Jasmine, saya mengendalikan 3 jenis mesyuarat iaitu
mesyuarat program, mesyuarat mingguan dan juga mesyuarat postmortem program.
Ingin
dicadangkan kepada PMH agar mesyuarat jangan melebihi 2 jam untuk mesyuarat
biasa. Mungkin akan ada pertambahan masa untuk mesyuarat program dan juga
postmortem nanti. Hal ini kerana kita tidak mahu menggunakan masa yang banyak
untuk mesyuarat. Notis mesyuarat hendaklah dihantar sehari sebelum mesyuarat
diadakan. Hal ini penting bagi memberi peluang kepada penggerak untuk menyusun
jadual belajar mereka untuk disesuaikan dengan masa mesyuarat selain
membolehkan ramai penggerak menyertai mesyuarat nanti. Tugas sebagai pelajar
perlu diutamakan juga.
Selain itu, saya mencadangkan agar mesyuarat bersama
semua biro diadakan dalam kelas atau tempat yang mempunyai meja mesyuarat manakala
mesyuarat dalam biro masing – masing bergantung pada ketua biro masing –
masing. Susunan meja mesyuarat hendaklah dibuat berbentuk bulatan atau petak
empat. Ini bagi memberi peluang kepada semua ahli untuk mengambil bahagian
secara efektif dalam mesyuarat nanti.
Penubuhan
Biro Lain
Penubuhan
biro baru dalam PMH menjadi teras cadangan saya kepada pihak MT dalam mesyuarat
perdana yang diadakan beberapa minggu yang lalu. Hal ini kerana saya melihat
biro yang ada sekarang merupakan biro yang ditubuhkan sejak sekian lama oleh
pentadbiran PMH yang terdahulu. Sekali lagi, saya tidak menafikan peranan biro
lain dan tidak berhasrat untuk memberi cadangan kepada MT untuk menghapuskan
mana – mana biro dalam PMH. Penubuhan biro lain ini penting dalam usaha untuk
menaiktaraf dan menjadikan PMH sebuah persatuan yang berdaya saing dimasa akan
datang.
Saya
ingin mencadangkan agar ditubuhkan Biro Sukan & Rekreasi atau Biro Perhubungan
Luar & Antarabangsa atau kedua – dua biro ini. Tidak timbul banyak biro
dalam PMH kerana saya melihat banyak ruang yang perlu diterokai oleh PMH Puncak
Perdana terutama dalam bidang sukan. Berdakwah melalui sukan memang merupakan
senjata yang ampuh untuk menarik minat remaja. Saya akan huraikan nanti
berhubung dengan perkara ini. Antara sebab ingin dicadangkan penubuhan Biro
Sukan & Rekreasi ialah mengambil kira kegemaran dan juga minat pelajar
terutama pelajar lelaki dalam bidang sukan. Selain itu, biro ini juga
berperanan dalam menganjurkan aktiviti kesukanan bersama penggerak PMH secara
berkala tanpa melibatkan wang dan dana yang banyak. Peluang keemasan ini perlu
direbut oleh PMH dalam melebarkan usaha dakwah kepada pelajar.
Penubuhan
Biro Perhubungan Luar dan Antarabangsa juga menjadi tulang belakang kepada
persatuan. Hal ini kerana saya tidak mahu melihat PMH hanya jaguh dikampung
sahaja. Harapan saya ingin melihat PMH setanding malah lebih hebat dari biro
lain. Biro ini berperanan dalam menjalinkan kerjasama antara persatuan islam
yang terdapat di UiTM dan juga universiti lain. Hal ini penting bagi kita untuk
menimba pengalaman dan idea yang bernas dari persatuan lain dalam mengembangkan
lagi usaha dakwah di Puncak Perdana. Selain itu, penganjuran dialog bersama
persatuan lain menjadi platform penting dalam mengasah bakat kepimpinan dan
komunikasi dalam kalangan penggerak PMH.
Penubuhan
biro ini adalah cadangan yang telah lama ingin dicadangkan. Tapi terpulanglah
kepada pihak MT dalam memutuskan perkara ini. Bincanglah dengan penasihat
persatuan tentang biro ini dan buatlah keputusan yang terbaik. Lihat ke hadapan
dalam usaha untuk menjadikan PMH sebuah persatuan yang terbaik di Puncak
Perdana dan juga UiTM. Insyallah.
Template
Kertas Kerja
Saya
mencadangkan kepada MT supaya mewujudkan template kertas kerja yang seragam
untuk digunakan oleh persatuan dalam membuat kertas kerja. Hal ini penting
dalam mewujudkan keseragaman dan juga memudahkan kepada pengarah program untuk
membuat kertas kerja nanti.
Keanggotaan
Majlis Syura
Majlis
Syura merupakan sebuah majlis yang terpenting dalam menggubal dasar dan juga
sebagai pemutus dalam keputusan persatuan. Dalam usaha untuk menjadikan Majlis
Syura sebagai majlis yang berkuasa penuh dalam persatuan, saya ingin
mencadangkan agar diambil ketua bagi setiap biro untuk menganggotai majlis ini.
Hal ini penting bagi memastikan keputusan yang akan dibuat nanti merupakan
keputusan yang kolektif dan diterima semua pihak dengan hati yang terbuka. Tidak
akan timbul keputusan yang berat sebelah sebab semua biro mempunyai peluang
dalam memberi pandangan tentang keputusan yang bakal dibuat nanti.
Penggabungan
Biro
Transformasi
terhadap biro dalam PMH amat penting dalam usaha untuk menjadikan ianya lebih
efektif dan berkesan. Mungkin ada pihak yang tidak menyedari kepentingan ini,
namun saya melihat sebaliknya. Izinkan saya memberikan penjelasan. Bacalah dengan
hati yang terbuka secara mendalam agar segala yang dilontarkan ini diteliti
sebaiknya.
Saya
ingin mencadangkan agar Biro Tarbiyah digabungkan dengan Biro Dakwah dan Surau
menjadi BIRO TARBIYAH DAN DAKWAH. Mungkin ada yang mempersoalkan rasional
penggabungan biro ini? Saya melihat Dakwah dan Tarbiyah saling memerlukan
antara satu sama lain. Kedua – duanya memainkan peranan yang penting dalam pembinaan
insan yang terbaik bagi persatuan ini. Tidak ada istilah tarbiyah dalam diri
dan dakwah di luar. Biro Surau masih lagi diletak dan dikekalkan dalam biro
ini, cuma tidak disebutkan sahaja.
Selain
itu, saya mencadangkan agar Biro Kebajikan yang selama ini disekalikan dengan
Biro Tarbiyah dipindahkan ke bawah Biro Keusahawanan menjadi BIRO KEUSAHAWANAN
DAN KEBAJIKAN. Hal ini kerana usahawan memang mempunyai sumber kewangan yang
dijana melalui aktiviti jualan yang dijalankan pada setiap program. Kebajikan selalunya
memerlukan wang dan memang wajar diletakkan di bawah Biro Usahawan.
Bagi
Biro Publisiti dan Multimedia, memang harus dikekalkan. Tiada apa – apa perubahan
yang saya nampak perlu dilakukan terhadap biro ini.
Dengan
penggabungan biro ini, biro lain boleh ditubuhkan nanti.
Notis
Program
Saya
mencadangkan agar diletakkan alamat blog dan Facebook PMH di notis program. Ini
penting sebagai promosi kepada medium dakwah yang dikendalikan oleh PMH supaya pelajar
sedar akan kewujudan medium ini dan dapat diakses oleh semua pelajar dalam
mendapatkan maklumat terkini mengenai PMH.
Segala
tulisan yang saya kongsikan dalam surat ini adalah pandangan peribadi saya
selaku mantan penggerak PMH yang telah lama berkecimpung dalam persatuan ini. Cadangan
yang saya utarakan di atas diharapkan agar dibincang dan diperhalusi secara
mendalam oleh pihak MT dan dibawa berbincang bersama ahli yang lain serta
dapatkan pandangan dan persetujuan daripada penasihat tentang kewajaran
cadangan yang saya kemukakan di atas. Semoga setiap perubahan yang akan
dijalankan menjadi batu loncatan dalam menjadikan PMH sebuah persatuan islam
yang terbaik dan cemerlang dibumi Puncak Perdana dan UiTM amnya.
Saya
tidak mengharapkan cadangan ini dilaksanakan semuanya. Segala-galanya diserahkan
kepada pihak MT dan penasihat dalam menentukan sama ada cadangan ini baik
diteruskan atau tidak. Kalau ada apa – apa yang tidak jelas dalam penulisan
ini, tanyalah kepada saya. Mungkin tidak cukup penjelasan yang diberikan dalam
surat ini. Penjelasan lanjut saya boleh berikan dalam usaha menjadikan PMH
sebuah persatuan yang menjadi pilihan kepada pelajar di UiTM Kampus Puncak
Perdana Insyallah.
“BERUBAH
KE ARAH YANG LEBIH BAIK”
“MAJU
BERSAMA ISLAM”
Yang
benar,
MUHAMMAD
SYAWAL BIN MAT GHANI
EXCO
USAHAWAN (MANTAN)
PERSATUAN
MAHASISWA HADHARI (PMH) PUNCAK PERDANA
14
JULAI 2013/ 5 RAMADHAN 1434 H
Ulasan
Catat Ulasan
Assalamualaikum W.B.T
Cer Komen Sikit...#JomSimpanEMAS