Hudud Kelantan: Suatu Pandangan Peribadi

Isu pelaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (EKJS) II Kelantan Tahun 1993 pindaan 2015 memasuki fasa baharu apabila pindaan kepada enakmen yang diluluskan 22 tahun yang lalu (25 November 1993) diluluskan pada 19 Mac 2015 yang lalu. Kesemua ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) yang hadir menyokong undang - undang ini untuk dilaksanakan nanti. 

EKJS II Kelantan mengandungi Hukuman Hudud, Qisas dan Takzir. Tetapi panggilan popularnya ialah Undang - Undang Hudud.

Sebagai rakyat negeri Kelantan ini, memang merasa bangga kerana Isu Hudud ini telah lama dibangkitkan dan diulang siar menjelang berlakunya Pilihanraya Umum dahulu. Kononnya, Hudud ini hanya omongan kosong pihak tertentu untuk memenangi pilihanraya semata mata. Namun, setelah diluluskan minggu lepas, kata - kata diatas sudah tidak kedengaran lagi. Komitmen yang diberikan oleh Kerajaan Kelantan untuk melaksanakan enakmen ini mendapat pelbagai reaksi dari pelbagai pihak. Ada yang positif dan ada juga pandangan yang negatif.

Saya ingin berkongsi beberapa persoalan yang ditimbulkan dalam pelbagai media massa. Ini hanyalah pandangan peribadi sahaja.

Hudud PAS? Hudud Politik?

Frasa kata "Itu hudud PAS", tak payah sokonglah" memang muncul pada pandangan sesetengah orang. Saya pun tak faham. Apa ada ke hudud PAS atau hudud UMNO dalam Al Quran?. Setahu saya, enakmen ini dibuat berdasarkan kepada Al Quran, As Sunnah, Ijmak dan Qias Ulamak. Ini kerana ada hukuman yang dinyatakan secara Qati'e dalam Al Quran dan ada yang tidak dinyatakan.

Kalaulah enakmen hudud yang diluluskan oleh Kerajaan Kelantan itu dilabelkan Hudud PAS, maka datangkanlah hudud yang sebenarnya!. Adakah kalau UMNO yang membuat enakmen hudud itu, terus akan jadi Hudud UMNO?.

Pada saya, nama ini adalah yang diberi oleh manusia. Selagi mana undang - undang itu bersumberkan Al Quran dan As Sunnah serta Ijmak dan Qias, maka ia adalah undang - undang Allah s.w.t. Cuma yang berbeza adalah siapa atau kumpulan mana yang berusaha kearah pelaksanaannya sahaja.

Bercanggah dengan Perlembagaan?

Memanglah, EKJS ini bercanggah dengan Perlembagaan. Ini kerana kuasa Jenayah merupakan bidang kuasa Persekutuan dan Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa untuk membuat sebarang undang - undang yang bukan dalam bidang kuasanya. 

Sebab itulah, Kerajaan Negeri Kelantan membawa perkara ini kedalam sidang DUN untuk dibahas dan diluluskan. Selepas ini akan dibawa ke Parlimen untuk proses seterusnya. Enakmen ini akan berjalan mengikut proses demokrasi yang pastinya bukan suatu yang senang.

Bukan Masanya? Tidak Sesuai Lagi?

Ada juga sesetengah pendapat yang mengatakan bahawa Hukuman Hudud ini tidak sesuai untuk dilaksanakan pada masa sekarang kerana suasana yang tidak kondusif katanya. Kerana masyarakat majmuk yang tidak memungkinkan hukuman ini dijalankan.

Bukankah sudah dinyatakan bahawa hukuman ini hanya untuk Orang Islam sahaja?. Orang Bukan Islam tidak terlibat langsung dalam perkara ini. Tak perlulah kecoh sangat.

Baiklah, kalau masa sekarang tidak sesuai dilaksanakan, bila masa yang sesuai untuk dilaksanakan? Adakah perlu menunggu 20 tahun lagi? Atau sehingga semua faham akan hukum ini?

Saya nak cadangkan agar berilah peluang untuk undang - undang ini menjadi suatu kenyataan dahulu. Disamping bersama - sama dengan pelaksanaannya itu nanti dijadikan suasana yang kondusif itu menjadi kenyataan. Alangkah baiknya kalau kempen tentang keindahan Hukum Hudud dilaksanakan sebagaimana kempen GST. Tentu ramai yang akan faham.

Harapan

Saya mengharapkan agar undang - undang ini menjadi kenyataan suatu masa nanti. Perbezaan pendapat dalam soal pelaksanaan dan teknikal tidak menjadi masalah. Jangan nanti perbezaan itu menjadi seolah - olah menolak Hukum Allah s.w.t itu. Rosak Akidah....

Tiba masanya untuk meletakkan undang - undang Allah s.w.t di tempat yang tertinggi dalam perundangan negara. Bersama kita doakan yang terbaik untuk perkara yang baik ini.

# Sekadar Pandangan Peribadi.
# Pandangan Manusia boleh Berbeza, tetapi Ketetapan Allah s.w.t tidak ada keraguan padanya.
# I Love Hudud.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Temuduga JPK: Suatu Catatan..

MPP: Tugas dan Harapan

Secebis Pengalaman, Secoret Kenangan